Dua sahabat terima penghargaan selamatkan cubaan bunuh diri - Utusan Malaysia

Dua sahabat terima penghargaan selamatkan cubaan bunuh diri

MUHAMMAD Akiff Sulaiman (kiri) dan Muhammad Hakim Mazlan menunjukkan surat penghargaan polis diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Pahang. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Dua nelayan su­ngai dari Kampung Sungai Tekal, Kuala Krau nekad menyelamatkan seorang lelaki lemas dipercayai cuba membunuh diri walaupun terpaksa berdepan risiko tinggi semasa arus deras Sungai Pahang di sini pada Mei lalu.

Mengimbau peristiwa itu, Muhammad Akiff Sulaiman, 32, berkata, hampir kehabisan tenaga bergelut dengan mangsa lemas yang enggan diselamatkan.

Pengusaha sangkar patin ini berkata kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku depan matanya dan disaksikan sahabatnya, Muhammad Hakim Mazlan, 36, yang ketika itu sedang memancing.

“Sahabat saya pantas menuju ke arah mangsa menggunakan bot dinaiki bagi menariknya yang dilihat tenggelam timbul.

“Hakim sedang memancing di atas bot manakala saya berada atas tebing dekat dengan sangkar. Saya bergegas membantu walaupun air sungai deras boleh mengancam nyawa sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah penghargaan daripada Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Maslan Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini.

Menurut Muhammad Akiff, mangsa dilihat terjatuh dalam sungai tetapi masih boleh berenang, namun bila sampai dekat arus deras, mangsa tenggelam timbul dan tidak meminta tolong.

“Saya segera menghampiri mangsa dari tebing dan selamatkannya. Waktu itu yang ada dalam fikiran hanyalah menyelamatkan nyawa mangsa.

“Aksi menyelamat itu memakan masa sejam lebih kerana mang­sa meronta. Kami ikat mangsa sebab dia hendak terjun semula dalam sungai.

“Memang risiko nyawa sebab mangsa seperti tidak mahu diselamatkan. Namun apabila sudah sampai atas darat, rasa lebih lega dan selamat,” tambahnya.

Muhammad Hakim berkata, ketika kejadian apa difikirkan­nya hanya menyelamatkan mang­sa lemas tanpa menghiraukan sebarang kebarangkalian yang mungkin berlaku.
Pengalaman menyaksikan sendiri insiden ini dalam ke­adaan air berarus deras, amat mencemaskan, namun yang le­bih penting baginya adalah nyawa mangsa.

“Kemahiran berenang sejak kecil, berguna dalam saat gen­ting seperti ini,” katanya.
Orang ramai turut membantu dan menghubungi polis untuk membawa mangsa menerima rawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN