PUTRAJAYA: Dua beradik warga India menangis di Mahkamah Rayuan di sini semalam, selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh sepasang suami isteri yang mana mayat mangsa ditemukan dalam dua beg pakaian dan dicampak dalam parit, lima tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati terdapat merit dalam rayuan Sagar Sharma, 29, dan Shubham Sharma, 24.
“Selepas mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan, kami terdorong untuk berpihak kepada perayu-perayu dengan mengambil kira bahawa penerimaan masuk keterangan saksi-saksi pendakwaan adalah salah dan merupakan satu salah arah oleh Hakim Mahkamah Tinggi.
“Oleh itu, berdasarkan Seksyen 27 Akta Keterangan 1950, tiada sebarang keterangan yang boleh mengaitkan kedua-dua perayu terhadap jenayah yang telah berlaku. Sehubungan itu, kami dapati sabitan salah terhadap perayu adalah tidak selamat untuk dikekalkan.
“Kami dapati terdapat merit dalam rayuan, oleh itu kedua-dua perayu dilepaskan dan dibebaskan daripada sabitan salah dan hukuman mati yang dikenakan,” kata Hakim Ahmad Zaidi.
Pada 2 November 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan Sagar dan Shubham yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan kesalahan membunuh menyebabkan kematian kepada Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, 79, dan isterinya, Tan Siew Mee, 52.
Berdasarkan keterangan saksi yang juga jiran mangsa, kedua-dua perayu merupakan anak angkat pasangan itu dan tinggal bersama di rumah suami isteri itu.
Mayat mangsa ditemukan disumbat di dalam dua beg pakaian sebelum dicampak ke dalam longkang di dua lokasi dekat Shah Alam dengan belasan kesan tikaman di bahagian badan dan kelar di leher.
Sebaik prosiding mahkamah berhenti dan jurubahasa menjelaskan keputusan mahkamah kepada dua beradik berkenaan, Shubham yang baru berusia 19 tahun ketika kejadian, dilihat terduduk dan menangis teresak manakala abangnya, Sagar turut bergenang air mata.
Terdahulu, peguam Afifuddin Ahmad Afifi yang mewakili kedua-dua perayu menyatakan, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam terkhilaf apabila menerima masuk keterangan dua saksi pendakwaan yang juga pegawai polis yang terlibat dalam siasatan kes berkenaan.
Selain itu, kedua-dua saksi itu tidak mengemukakan sebarang catatan bagi membuktikan dan mengesahkan maklumat yang diberikan oleh kedua-dua perayu kepada pihak polis.
“Ini merupakan satu salah arah undang-undang yang material kerana peruntukan di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan memerlukan beban pembuktian yang tinggi. Jika tidak, ianya boleh disalahgunakan dan wujud kebarangkalian maklumat yang diberikan adalah tidak tepat, salah atau seperti mana dimaklumkan di mahkamah,” kata peguam itu.
Afifuddin turut berhujah, perayu tidak faham Bahasa Melayu tetapi tiada sebarang keterangan atau catatan mengenai bahasa dan ayat yang digunakan oleh kedua-dua perayu Ketika memberikan maklumat kepada pihak polis sehingga membawa kepada penemuan beg berisi mayat mangsa.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang ketika berhujah menyatakan, isu kedua-dua perayu tidak memahami bahasa kebangsaan ketika memberi keterangan dan menunjuk arah lokasi mayat dibuang tidak pernah ditimbulkan peringkat perbicaraan.
“Pihak pembelaan juga tidak pernah mencabar saksi pendakwaan berhubung isu sama,” kata pendakwa raya itu. – UTUSAN










