JOHOR BAHRU: Barisan exco kerajaan negeri Johor yang baharu dilantik hari ini sedia galas tanggungjawab sekaligus menjayakan agenda Maju Johor 2030 yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Empat daripada 10 dilantik pada penggal pentadbiran kerajaan negeri ini merupakan exco baharu termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hasrunizah Hassan.
Hasrunizah berkata, amanah itu akan digalas sebaik mungkin bagi memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat Johor dapat ditambah baik selaras agenda menjadikan Johor negeri maju.
“Berhubung portfolio saya, antara azam adalah untuk memperkasa peranan wanita sebagai komponen penting dalam masyarakat.
“Kita mempunyai data-data berkenaan golongan wanita termasuk ibu tunggal, suri rumah dan lain-lain. Kita akan kemaskini data tersebut dan lihat langkah terbaik untuk memperkasakannya,” katanya selepas sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, di sini hari ini.
Tiga lagi exco baharu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Md. Israk Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya, P. Pannir Selvam.
Pannir Selvam pula berkata, pihaknya berterima kasih dengan kepercayaan diberi institusi Diraja Johor dan juga Onn Hafiz untuk memikul tanggungjawab sebagai exco kerajaan negeri yang baharu.
“Semasa berkempen, saya banyak ketengahkan keistimewaan konsep Bangsa Johor, jadi bagi portfolio perpaduan, saya mahu konsep itu diperluaskan lagi. Manakala bagi portfolio warisan dan budaya, saya mahu angkat lagi budaya tempatan ke peringkat lebih tinggi.
“Warisan tradisional akan terus diperkasa termasuklah di peringkat sekolah melibatkan golongan muda,” katanya.
Sementara itu, Dr. Muhammad Naqib pula berkata, pihaknya akan berusaha melakukan yang terbaik walaupun diberi tanggungjawab melibatkan satu bidang yang baharu khususnya pendidikan.
“Insya-Allah, ini satu amanah besar dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Latar belakang saya adalah bidang kesihatan, tetapi diberikan amanah pikul tanggungjawab berkaitan pendidikan dan penerangan.
“Saya akan berusaha sehabis baik untuk melaksanakan tugas ini. Kita mahu pastikan dasar dan polisi dilaksana kerajaan negeri dapat disampaikan kepada rakyat. Antara fokus saya sudah tentu Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ),” katanya. – UTUSAN










