KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) disaran mengkaji semula hubungan politik dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan susulan perkembangan semasa yang didakwa menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan sebahagian pimpinan gabungan itu.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, beliau menyokong penuh gesaan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim agar satu penilaian semula dilakukan terhadap kerjasama politik antara PH dan BN demi memastikan hubungan itu terus dibina atas asas saling menghormati serta kepercayaan.
Menurutnya, gesaan tersebut lahir daripada realiti politik semasa yang tidak boleh dipandang ringan.
“Dalam perkembangan mutakhir ini, wujud tindakan dan kenyataan daripada pimpinan tertentu dalam BN yang menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan mereka dalam menjayakan semangat Kerajaan Perpaduan.
“Kerjasama hanya akan berjaya sekiranya dibina atas asas saling menghormati, kejujuran dan komitmen bersama, bukannya tindakan yang menguntungkan sebelah pihak sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PH tidak seharusnya terus berada dalam kedudukan yang sentiasa berkompromi sekiranya terdapat pihak yang dilihat mengambil kesempatan terhadap hubungan politik sedia ada.
Menurut Dzul Hilmi, setiap bentuk kerjasama politik perlu memberikan manfaat kepada kedua-dua gabungan, selain mengutamakan kepentingan rakyat.
“Sudah tiba masanya satu penilaian yang jujur dan menyeluruh dibuat terhadap hala tuju hubungan PH-BN.
“Bagaimanapun, kajian semula ini bukan bertujuan memutuskan kerjasama secara terburu-buru, sebaliknya memastikan setiap kerjasama politik dibina atas prinsip kepercayaan, keikhlasan dan rasa hormat antara rakan gabungan,” katanya.
Beliau menegaskan, kepentingan rakyat serta kestabilan negara perlu terus menjadi keutamaan, namun kestabilan yang berkekalan hanya mampu dicapai melalui kerjasama yang benar-benar ikhlas dan bukannya sekadar atas pertimbangan politik. – UTUSAN










