Caruman KWSP pekerja asing, majikan terbeban RM8.13b setahun

Caruman KWSP pekerja asing, majikan terbeban RM8.13b setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majikan terpaksa menanggung kos tambahan membebankan sebanyak RM8.13 bilion setahun jika kerajaan mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terhadap 2.5 juta pekerja asing di negara ini.

Kos tambahan bagi caruman KWSP sebanyak 13 peratus itu dilihat akan menyebabkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menghadapi masalah aliran tunai lebih mendesak.

Lebih membimbangkan, tekanan kewangan tambahan itu dikhuatiri mengakibatkan PMKS terpaksa gulung tikar kerana tanpa kos tambahan caruman KWSP ramai peniaga PMKS merugut mengenai kos operasi perniagaan.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, sekiranya caruman 13 peratus KWSP dilaksanakan membabitkan pekerja asing, golongan majikan terpaksa menanggung kenaikan kos sebanyak 46 peratus.

Menurut beliau, kos itu adalah membabitkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700, kenaikan caj levi dan caruman KWSP.

“Andainya majikan dikehendaki untuk mencarum KWSP pada kadar semasa iaitu 13 peratus untuk pekerja dengan gaji RM5,000 ke bawah sebulan membabitkan 2.5 juta pekerja asing, kos tambahan ditanggung majikan adalah RM552.5 juta sebulan atau RM6.63 bilion setahun.

“Pekerja bukan warganegara juga merujuk kepada golongan ekspatriat yang berdasarkan data tahun 2023 jumlahnya seramai 154,155 orang.

“Pada tahun 2023, purata gaji ekspatriat di Malaysia adalah RM6,610 sebulan jadi caruman mandatori KWSP majikan untuk mereka dianggarkan sebanyak RM122.24 juta sebulan atau RM1.5 bilion setahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 18 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan bahawa kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, cadangan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa.

“Kerajaan komited memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Hussain mendakwa, MEF tidak pernah dilibatkan dalam perbincangan berhubung caruman KWSP membabitkan pekerja asing sebelum ini.

Katanya, dengan kenaikan kos yang tinggi untuk mewajibkan caruman KWSP terhadap pekerja asing, perbincangan dan rundingan bersama pihak berkepentingan harus diadakan segera sebelum ia dilaksanakan.

“Hal ini kerana, pelabur tempatan atau asing akan meneliti kos menjalankan perniagaan sebelum membuat keputusan untuk melabur atau meninggalkan negara ini.

“MEF mencadangkan penangguhan pelaksanaan cadangan ini dan lebih banyak kajian perlu dilaksanakan termasuk memberi mandat kepada Majlis Perundingan Gaji Negara untuk mengkaji caruman simpanan yang diamalkan negara-negara lain dan melaporkannya,” katanya.

Beliau berkata, kos tambahan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025 akan menjejaskan sasaran Malaysia untuk berada dalam 12 negara teratas paling berdaya saing dalam Indeks Daya Saing Dunia (IMD).

“Selain daripada kadar gaji minimum dan levi berbagai peringkat, keperluan berkaitan caruman mandatori KWSP untuk penggajian bukan warganegara tidak pernah dibincangkan.

“Tadbir urus yang baik termasuk perkara sebegini yang mempunyai kesan yang besar terhadap kos operasi hendaklah dibincangkan dengan pihak berkepentingan.

“PMKS akan tidak mampu bertahan jika beban tambahan ini diletakkan di atas bahu mereka. Mereka sudah pasti akan sesak nafas dan ada yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pekerja Asing, Datuk Foo Yong Hooi berkata, maklum balas diterima pihaknya berhubung cadangan caruman KWSP pekerja asing adalah majikan tidak mahu melaksanakannya.

Katanya, jika caruman dilaksanakan daripada pekerja asing sendiri, ia tidak menimbulkan banyak masalah namun kadar ditetapkan perlulah masuk akal.

“Pada masa sama, kerajaan harus ada mekanisme untuk memastikan pekerja asing ini dapat menuntut kembali wang mereka dengan segera sekiranya mahu pulang atau dihantar pulang oleh majikan.

“Tetapi di pihak majikan, pelaksanaan itu akan mengakibatkan keuntungan mereka lesap sekali gus mengakibatkan cukai dikutip akan berkurang. Keadaan itu akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN