Budak lapan tahun kenal, ingat warna bendera negara di dunia

Budak lapan tahun kenal, ingat warna bendera negara di dunia

MUHAMMAD Umar Ziqri Mohd. Khairul Azuan melihat peta dunia dengan ditemani Zuliyani Yunus di Kampung Pasir Dula, Hulu Terengganu. - UTUSAN / NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dari Kampung Pasir Dula, Basung, di sini menunjukkan daya ingatan menakjubkan apabila mampu mengenal dan mengingati warna pelbagai jenis bendera negara di seluruh dunia.

Muhammad Umar Ziqri Mohd. Khairul Azuan yang merupakan murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Setebu turut mengingati kedudukan negara-negara mengikut benua selain sebahagian besar nama-nama presiden atau pemimpin utama di sesebuah negara.

Ibunya, Zuliyani Yunus, 38, berkata, dia mengesan kecen­derungan positif anak sulung­nya itu ketika berusia enam tahun apabila sering dilihat menonton video- video berkaitan pengetahuan am geografi dan kenegaraan di YouTube melalui telefon bimbit.

“Dia juga gemar menjawab soalan-soalan kuiz serta teka silang kata. Semua itu sebagai hiburan baginya berbanding melihat cerita cerita kartun atau adiwara yang biasanya diminati kanak-kanak seusianya.

“Walaupun dia habiskan masa berjam-jam setiap hari dengan telefon bimbit tetapi saya dan suami Mohd. Khairul Azuan Manan, 38, sentiasa memantau dan meletakkan had masa tertentu baginya..

“Melihat kecenderungan minatnya ini, sebagai ibu bapa kami sedikit-sebanyak dapat menarik nafas lega kerana tahu yang ditontonnya dalam YouTube, bukannya menonton perkara tidak menentu,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pasir Dula, semalam.

Terdahulu, tular dalam media sosial sehingga mencuri perhatian netizen selepas kepintarannya mengenal pasti pelbagai jenis bendera negara di seluruh dunia dan lebih mengagumkan dia turut mengetahui kedudukan negara mengikut benua.

Zuliyani, ibu kepada dua anak berkata, jika ke kedai buku, bahan berkaitan geografi, kenegaraan dan silang kata sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris menjadi pilihan anaknya itu berbanding buku cerita.

Dia yang mengusahakan kedai runcit bersama suami di Hentian Rehat Gawi, di sini, berkata anaknya itu membesar seperti kanak-kanak lain yang gemar bermain bagaimanapun Muhammad Umar Ziqri tidak menyukai nasi sejak lahir dengan menjadikan roti sebagai hidangan utama.

Sementara itu, Muhammad Umar Ziqri batanya, dia meminati bendera-bendera negara kerana tertarik dengan kepelbagaian warna serta lambang yang tentunya punyai maksud identiti sesebuah negara.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor berkata, tempat paling ingin dilawatinya ialah benua paling selatan di dunia iaitu Antartika. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×