KLANG: Ilmu mengasah pisau perlu dipelajari oleh umat Islam terutama bagi yang menjadi penyembelih ibadah korban supaya proses sembelihan dilakukan dengan sempurna.
Menurut pakar mengasah dan pembuat pisau, Saien Salimin, 60, yang berasal dari Sekinchan, setiap sembelihan haiwan korban perlu dilakukan dengan pisau tajam yang sentiasa diasah setiap kali ibadah tersebut dijalankan.
“Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan mereka menggunakan pisau tajam yang sama untuk melaksana 40 sesi penyembelihan berturut-turut, merupakan tindakan yang tidak beradab dari aspek kemanusiaan.
“Dari segi adab dan keadilan, haiwan pertama disembelih dengan pisau yang tajam. Bila sudah disembelih sudah pasti mata pisau akan terjejas dan menumpul,” katanya ketika mengadakan kursus penyembelihan korban di Masjid Dato’ Dagang Kampung Jawa di sini semalam.
Saien berkata, sewajarnya untuk sesi kedua dan seterusnya pisau perlu diasah semula dengan sesuatu objek yang boleh menajamkan kembali matanya.
Jelasnya, tidak guna mana-mana pihak mendabik dada boleh menggunakan pisau sama 40 kali berturut-turut tanpa diasah sedangkan tindakan tersebut menyeksa haiwan korban.
“Tidak rugi belajar ilmu mengasah pisau kerana selain melaksana ibadah korban dengan lancar, sebagai manusia yang diberi akal kita perlu berperikemanusiaan terhadap haiwan yang ‘mengorbankan’ nyawa untuk kita menunaikan ibadah dengan sempurna,” katanya.
Dalam masa sama, beliau bersedia berkongsi ilmu mengasah pisau yang lebih dua dekad dikuasainya demi memastikan ilmu penyembelihan dipelajari dengan sempurna.-UTUSAN










