Air empangan meningkat tapi belum capai paras selamat - Utusan Malaysia

Air empangan meningkat tapi belum capai paras selamat

KEADAAN terkini Empangan Air Itam (atas) dan Empangan Teluk Bahang susulan taburan hujan yang tinggi di Pulau Pinang sejak hampir dua bulan yang lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, meningkat susulan taburan hujan yang tinggi di kawasan berkenaan sejak hampir dua bulan yang lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, paras simpanan air mentah dua empangan di kawasan pulau itu masih belum mencapai tahap optimum sebagai persediaan menghadapi musim kering akan datang.

“Setakat kelmarin, kapasiti efektif Empangan Air Itam pulih ke tahap selamat iaitu 81.5 peratus.

“Pada masa sama, kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang turut meningkat sebanyak 25.4 peratus sejak 31 Ogos lalu dan setakat kelmarin, ia meningkat melebihi paras 50,” katanya di sini, semalam.

Menurut Pathmanathan, Empangan Teluk Bahang secara umumnya adalah lebih besar berbanding empangan Air Itam dan lebih banyak hujan diperlukan untuk mengisi semula air di empangan itu hingga ke tahap lebih tinggi.

Oleh itu, katanya, kapasiti efektif semasa Empangan Teluk Bahang masih belum selamat.

Dalam pada itu, beliau berkata, berikutan bermulanya fenomena La Nina yang lembap dan kemungkinan lebih banyak taufan diramal berlaku di rantau ASEAN dalam beberapa bulan akan datang, berkemungkinan hujan lebih banyak.

“Bagaimanapun, disebabkan perubahan iklim, jumlah hujan pada masa hadapan sukar diramalkan. Cuaca dan hujan di Pulau Pinang adalah di luar kawalan PBAPP atau sesiapa sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN