JOHANNESBURG: Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa mengarahkan penarikan segera racun perosak berbahaya dari pasaran, sebagai langkah mengatasi keracunan makanan yang meragut nyawa 22 kanak-kanak sejak September lalu.
“Sejak awal September 2024, sebanyak 890 kes keracunan makanan dilaporkan di semua wilayah negara ini,” kata Ramaphosa dalam satu ucapan yang disiarkan secara langsung, semalam.
Menurut Ramaphosa, ramai individu mengalami sakit teruk dan ada yang meninggal dunia selepas makan makanan tercemar yang dipercayai dibeli dari kedai kecil atau penjual jalanan.
Salah satu insiden utama berlaku di Naledi, Soweto berhampiran Johannesburg bulan lalu, di mana enam kanak-kanak meninggal dunia selepas membeli snek di kedai kecil, sekali gus menimbulkan kebimbangan meluas di seluruh negara.
Hasil ujian mendapati kematian kanak-kanak itu berpunca daripada bahan kimia berbahaya yang dikenali sebagai Terbufos, racun perosak yang didaftarkan untuk kegunaan pertanian di Afrika Selatan.
Walaupun penggunaannya dilarang untuk kegunaan domestik, ia dijual secara tidak sah di kawasan penempatan miskin untuk mengawal tikus.
Ramaphosa mengarahkan penutupan segera kedai kecil yang terlibat dalam insiden kematian kanak-kanak tersebut.
Beliau turut menetapkan semua kedai kecil dan fasiliti pemprosesan makanan didaftarkan dengan pihak berkuasa majlis perbandaran dalam tempoh 21 hari.
“Kedai yang gagal memenuhi piawaian kesihatan akan ditutup,” tegas Ramaphosa.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Afrika Selatan untuk melindungi rakyat daripada ancaman kesihatan yang berpunca daripada penjualan racun perosak berbahaya secara tidak sah. – AGENSI










