40 terbunuh, serangan Israel di seluruh Gaza

40 terbunuh serangan Israel di seluruh Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 40 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel di seluruh Gaza semalam, termasuk melibatkan sebuah bangunan kediaman di bandar utara Jabalia.

Pusat Hak Asasi Manusia Palestin (PCHR) di Gaza berkata, sekurang-kurangnya 24 terbunuh apabila serangan Israel memusnahkan bangunan tiga tingkat di Jabalia pada waktu Subuh.

PCHR dalam kenyataan berkata, serangan itu turut mengakibatkan 30 yang lain dari rumah berdekatan cedera.

Rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan kira-kira lebih 12 mayat dibalut selimut diletakkan di atas tanah di luar hospital berhampiran Jabalia.

Media tempatan berkata, mereka adalah mangsa yang terbunuh dalam serangan terhadap bangunan kediaman, yang menempatkan sekurang-kurangnya 30 orang.

Tentera Israel mendakwa, pasukannya menyerang tapak di Jabalia konon sebagai tempat ‘pengganas beroperasi’.

“Pengganas ini menimbulkan ancaman kepada tentera IDF (Pasukan Pertahanan Israel) yang beroperasi di kawasan itu,” dakwa rejim.

Di Bandar Gaza, serangan udara Israel terhadap rumah di kejiranan Sabra membunuh seorang pegawai di Kementerian Kebajikan, Wael Al-Khour, isteri serta tiga anak dan tiga cucunya.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pasukannya dengan kerjasama Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa memindahkan 20 pesakit dari Hospital Al-Awda di Jabalia ke kemudahan lain di Bandar Gaza.

Katanya, seorang pesakit dilaporkan meninggal dunia ketika ambulans ditahan selama berjam-jam di pusat pemeriksaan yang memisahkan kawasan utara Gaza dan Bandar Gaza.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN