NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 10 bayi baru lahir maut selepas kebakaran berlaku di unit neonatal Hospital Maharani Lakshmibai Medical College, Jhansi di India semalam.
Kejadian yang dipercayai berpunca daripada kerosakan mesin oksigen di unit berkenaan turut mengakibatkan 16 yang lain dilaporkan kritikal.
Kebakaran dilaporkan bermula sekitar jam 10.30 malam (waktu tempatan) di hospital yang terletak kira-kira 450 kilometer dari ibu negara, New Delhi.
Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan katil dan dinding unit itu hangus, manakala keluarga mangsa kelihatan berkumpul perkarangan luar hospital.
Bayi yang berjaya diselamatkan, kebanyakannya hanya berusia beberapa hari, ditempatkan di katil lain di hospital tersebut untuk menerima rawatan kecemasan.
Timbalan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Brajesh Pathak, mengesahkan kematian 10 bayi berkenaan.
“Tujuh mayat dikenal pasti, manakala tiga lagi masih dalam proses pengesahan,” katanya.
Beliau turut menyatakan 16 lagi bayi berada dalam keadaan kritikal.
Sementara itu, laporan media tempatan menyebut api bermula daripada sebuah mesin oksigen sehingga menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas.
Menurut laporan NDTV, terdapat 54 bayi yang ditempatkan di unit penjagaan intensif neonatal ketika kebakaran berlaku.
Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam kenyataan di platform X menyifatkan, kejadian tersebut sebagai sangat memilukan.
Kejadian ini berlaku hanya enam bulan selepas insiden sama di sebuah hospital kanak-kanak di New Delhi, yang turut meragut enam nyawa bayi baru lahir. – AFP










