Usahawan Israel tawar ganjaran wang jika bebas tebusan dari Gaza

Usahawan Israel tawar ganjaran wang jika bebas tebusan dari Gaza

ORANG ramai melalui jalan yang memuatkan poster gambar-gambar rakyat Palestin yang dijadikan tebusan oleh tentera Israel di Gaza sejak serangan pada 7 Oktober lalu. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Kecewa dengan perkembangan terhadap usaha gencatan senjata dalam perang Gaza, beberapa usahawan Israel mencari jalan lain untuk pembebasan tebusan dengan menawarkan ganjaran wang.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SodaStream, Daniel Birnbaum mendakwa menerima sekitar 100 panggilan selepas mengumumkan tawaran AS$100,000 (RM432,330) dalam bentuk wang tunai atau bitcoin kepada sesiapa yang membawa tebusan Israel yang masih hidup dari Gaza.

Bekas pengerusi syarikat soda yang berpangkalan di Israel itu berkata, tawarannya adalah sah sehingga tengah malam Rabu.

Menurut Birnbaum, kebanyakan panggilan diterima adalah gurauan, ugutan atau kutukan, tetapi beliau percaya 10 hingga 20 mungkin sah dan diserahkan kepada pihak berkuasa Israel untuk pengesahan lanjut.

Beliau mendakwa, rata-rata mereka yang menghubunginya lebih mementingkan keluar dari Gaza daripada wang.

Dengan jumlah tebusan yang ramai, Birnbaum mendakwa, beberapa orang awam yang tiada kaitan dengan Hamas pasti mempunyai maklumat mengenai lokasi tebusan tersebut.

“Ada kemungkinan orang awam berfikir ini sudah cukup dan mereka ingin hidup,” katanya kepada AFP.

Susulan inisiatif Birnbaum, pemaju hartanah Israel-Amerika, David Hager turut mula mengumpul dana.

Hager memberitahu Saluran 12 Israel bahawa beliau dengan bantuan rakan-rakannya berjaya mengumpulkan sekitar AS$400,000 (RM1.7 juta).

“Setiap daripada mereka menawarkan AS$100,000,” katanya sambil menggesa usahawan lain untuk menyumbang sehingga mencapai sasaran AS$10 juta (RM43 juta).

Pejuang Hamas menahan 251 rakyat Israel sebagai tebusan ketika melancarkan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober 2023.

Daripada jumlah itu, 97 masih ditahan di Gaza, termasuk 34 yang menurut tentera Israel sudah meninggal dunia.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN