Teliti semula dana tebatan banjir, elak negara rugi - Tuan Ibrahim

Teliti semula dana tebatan banjir, elak negara rugi – Tuan Ibrahim

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segera meluluskan dana projek tebatan banjir bagi mengelak kerugian yang besar kepada negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, negara memerlukan dana yang besar bagi projek mitigasi banjir selain menyemak dana projek yang telah diluluskan dengan memetik projek di Sungai Golok.

“Saya melihat, kos yang dibentangkan dikekalkan pada jumlah yang hampir (seperti sebelum ini). Saya rasa perkara ini perlu disegerakan sebab kerugian akibat bencana banjir yang berlaku mutakhir ini agak besar.

“Sekiranya kita tidak melaksanakan dengan segera, ia akan menyebabkan negara rugi berbilion ringgit setiap tahun. Kerajaan juga perlu segera menyemak projek tebatan banjir yang telah diluluskan kerana pelaksanaannya masih tidak mencapai matlamat.

“Sebagai contoh Projek Tebatan Banjir di Sungai Golok Fasa 1 masih belum siap termasuk Fasa 2 dan 3,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2025, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 disifatkan perkara biasa mengambil kira kos semasa yang dialami negara ketika ini selain peningkatan penduduk.

“Bila kos meningkat, rakyat makin ramai, pembangunan makin besar sudah tentu perbelanjaan akan menjadi tinggi. Setiap tahun belanjawan akan meningkat dan itu perkara biasa. Yang penting adalah perbelanjaan yang seimbang dengan pendapatan supaya kos yang besar dapat ditanggung oleh kenaikan cukai.

“Selain itu, kerajaan juga perlu meneliti sumber baharu kerana (pungutan) cukai akan berbalik kepada rakyat secara terus atau tidak terus. Justeru, kerajaan perlu melihat sumber-sumber yang tidak membebankan rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menekankan aspek pertahanan awam sambil menasihatkan kerajaan untuk meningkatkan lagi peruntukan bagi pembelian aset pertahanan awam negara.

“Saya melihat tidak banyak yang dibuat bagi meningkatkan keselamatan anggota pertahanan awam tentera kita. Ada pertambahan sedikit tetapi tidak mencukupi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihak pembangkang akan meneliti dengan lebih mendalam berkaitan Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN