LONDON: Dalam tempoh hanya seminggu, serangan udara dan darat Israel di Lubnan memaksa lebih 200,000 orang melarikan diri merentasi sempadan ke Syria, yang sudah bertahun-tahun berdepan masalah perang saudara dan ancaman kebuluran.
Nasib dua negara ini berubah sekelip mata, di mana sejak beberapa tahun lalu, 1.5 juta pelarian Syria membanjiri sempadan ke Lubnan untuk melarikan diri dari keganasan perang saudara yang tidak berkesudahan.
Tetapi kini, giliran Syria menjadi tuan rumah kepada penduduk terdesak yang mencari perlindungan dari peperangan dan keruntuhan ekonomi akibat serangan Israel.
DILEMA RAKYAT SYRIA
Kedua-dua kerajaan Syria dan organisasi masyarakat sivil kini mengetuai usaha bantuan, tetapi selepas 13 tahun perang saudara, Syria tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk menyokong ribuan orang yang dipindahkan dari Lubnan.
Walaupun Syria adalah sekutu Hezbollah semasa perang 2006 dengan Israel, lebih sedekad pertempuran dan malapetaka ekonomi menyebabkan negara itu sangat miskin.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan, kira-kira 60 peratus daripada mereka yang menyeberangi sempadan di Homs, kawasan luar bandar Damsyik dan wilayah pesisir pantai Tartous sebenarnya adalah rakyat Syria sendiri yang melarikan diri ke Lubnan selepas perang saudara bermula pada 2011.
Bercakap pada taklimat akhbar di Geneva, wakil UNHCR di Syria, Gonzalo Vargas Llosa turut menceritakan kisah menyayat hati seorang wanita yang tiba di sempadan bersama mayat dua anaknya yang ingin dikebumikan di tanah air mereka di Syria selepas kedua-duanya terbunuh dalam serangan udara Israel di Lubnan.
“Kerana takut ditangkap dikenakan kerahan tenaga, atau menjadi mangsa keganasan yang berterusan jika mereka pulang ke negara asal mereka, ramai rakyat Syria telah lama memilih untuk kekal di Lubnan.
“Tetapi permusuhan yang semakin meningkat antara Israel dan Hezbollah menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan lagi selain kembali ke tanah air.
“Walaupun masyarakat di Syria mengalu-alukan jiran Lubnan mereka dengan tangan terbuka pada tahun 2006 serta melayan mereka sebagai tetamu dan bukannya sebagai pelarian, gambaran itu jauh berbeza kini,” katanya.
Dengan kira-kira 90 peratus penduduk hampir tidak memenuhi keperluan hidup, Llosa berkata, tidak banyak yang dapat rakyat di Syria sediakan untuk menangani bebanan pelarian Lubnan yang kini menghimpit negara itu.
UNHCR RAYU BANTUAN
Dari 24 hingga 29 September, Bulan Sabit Merah Arab Syria berkata, klinik bergeraknya menyediakan perkhidmatan perubatan kepada 5,074 orang yang sakit dan cedera namun kakitangannya mengakui semakin lelah untuk memenuhi permintaan yang meningkat.
Inisiatif amal tempatan, seperti Mart Group berpangkalan di Damsyik, turut menyokong usaha bantuan dengan mengedarkan air botol, makanan ringan dan selimut termasuk memberi kanak-kanak gelang tangan yang mempunyai ruang untuk menulis nombor telefon ibu bapa mereka sekiranya tersesat.
Pengurus Besar Mart Group, Marwan Alrez yang menempatkan pasukannya di persimpangan Masnaa, menggambarkan keadaan yang semakin huru-hara di sempadan.
“Apabila pasukan saya mula-mula tiba di persimpangan sempadan Masnaa, perkara pertama yang kami perhatikan ialah kesesakan, huru-hara dan organisasi yang lemah, yang menandakan keadaan benar-benar teruk di Lubnan.
“Secara tiba-tiba, lintasan itu yang sebelum ini mengendalikan kira-kira 300 orang setiap hari, kini menerima lebih 2,000 pelarian setiap hari,” katanya kepada Arab News.
Sokongan daripada UNHCR dijangka membantu meringankan beban kerajaan Syria dan kumpulan masyarakat sivil, yang berazam untuk berdiri dalam solidariti dengan mereka yang kehilangan tempat tinggal di Lubnan.
Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Filippo Grand menerusi X, menyiarkan rayuan PBB untuk mendapatkan dana AS$83 juta (RM349.96 juta) bagi memenuhi keperluan segera penduduk Lubnan yang dipindahkan, termasuk mereka yang melintasi sempadan Syria.
“Dengan menerima pelarian Lubnan dan warganya yang kembali, kami percaya Syria sendiri boleh mendapat manfaat daripada bantuan kemanusiaan tambahan.
“Apabila kerajaan Syria membantu penduduk Lubnan yang kehilangan tempat tinggal, pembiayaan kemanusiaan akan dialihkan untuk menyokong usaha bantuan dan jumlahnya diharap dapat ditingkatkan seiring dengan kadar pelarian yang memasuki negara ini,” kata seorang sukarelawan, Amal.
Pihak berkuasa tempatan, Bulan Sabit Merah Arab Syria, UNHCR dan kumpulan masyarakat sivil hadir di empat persimpangan sempadan rasmi di sebelah sempadan Syria, termasuk Masnaa di Jdeidat Yabous, barat Damsyik, dan Arida di Tartous.
Perkhidmatan yang ditawarkan kepada pendatang baharu termasuk bantuan perubatan, makanan, air, selimut, pengangkutan ke tempat perlindungan, nasihat undang-undang serta sokongan psikologi.
“Buat masa ini, keperluan ini sebahagian besarnya sedang ditangani, terima kasih kepada bekalan bantuan yang kami dan rakan kongsi lain ada dalam stok, tetapi jumlahnya perlu diisi semula tidak lama lagi,” kata Llosa dari UNHCR.










