Penyasaran subsidi RON95 bukan ikut pendapatan isi rumah

Penyasaran subsidi RON95 bukan ikut pendapatan isi rumah

BEBERAPA penganalisis sebelum ini mengandaikan kumpulan T15 adalah terdiri daripada isi rumah berpendapatan melebihi RM13,000 sebulan dan mereka sepatutnya tidak lagi layak menerima subsidi RON95.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program penyasaran subsidi RON95 yang akan diperkenalkan kerajaan pada pertengahan tahun hadapan bukan hanya berdasarkan garis pendapatan isi rumah semata-mata.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ram­li berkata, sebaliknya ia (pe­nyasaran subsidi RON95) ju­ga mengambil kira faktor-faktor lain buat masa ini.

“Saya boleh sahkan bahawa ia bukanlah menggunakan kaedah pendapatan isi rumah semata-mata seperti yang dirujuk kepada B40, M40 dan T15.

“Ia bukan kalau kamu gaji sekian-sekian kamu tak dapat (subsidi). Ia tak boleh potong line (ikut pendapatan isi rumah) sahaja, kita kena tengok pemboleh ubah lain dan bukan pukul rata. 

“Banyak simulasi dan proses yang kita akan lakukan antara Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan jabatan-jabatan terbabit,” katanya ketika ditemui dalam majlis sambutan Hari Statistik Negara 2024 di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kum pulan pendapatan maha kaya (T15) tidak lagi menikmati sub sidi RON95 mulai pertengahan tahun depan. 

Katanya, penentuan sama ada kumpulan pendapatan mana tidak layak menikmati subsidi RON95 juga akan mengambil kira faktor-faktor lain termasuk lokaliti dan tanggungan kerajaan. 

Rafizi berkata, jumlah populasi sebenar T15 sedang diperhalusi kerajaan bagi memastikan setiap program penyasaran subsidi yang dilaksanakan kelak berlaku lebih adil kepada semua. 

“Kita tahu bahawa pengukuran berdasarkan pendapatan isi rumah semata-mata sebenarnya banyak yang tercicir dan tidak adil. 

“Memang kita ingin beralih kepada satu konsep yang dipanggil perbelanjaan bersih isi rumah yang mengambil kira perbelanjaan asas isi rumah bagi menjalani kehidupan wajar,” ujarnya.

Ditanya sama ada kerajaan akan membuka semula pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi yang terlepas sebelum ini, Rafizi memberitahu, jika sistem data itu akan menjadi asas kepada penentuan kelayakan subsidi, maka ia (pendaftaran) wajar dibuka semula. 

“Kalau itu keputusan kerajaan, maka ia akan dibuka semulalah,” katanya. 

Sebelum ini, beberapa penganalisis mengandaikan kumpulan T15 adalah terdiri daripada isi rumah berpendapatan melebihi RM13,000 sebulan dan mereka sepatutnya tidak lagi layak menerima subsidi RON95. 

Dalam pada itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu memastikan kelemahan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel tidak berulang sehingga menyulitkan pengguna. 

Menurutnya, ini kerana ada kemungkinan kerajaan akan mengikut mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sehingga pengguna merugut. 

“Mekanisme untuk melakukan rasionalisasi subsidi perlu lebih baik daripada penyasaran subsidi diesel. Ini bukan satu peralihan yang mudah. 

“Tempoh sekarang sehingga pertengahan tahun hadapan adalah lama. Jadi, kerajaan perlu bersedia dari segi sistem dan komunikasi kepada rakyat. Ia seperti memberi signal kepada rakyat untuk membuat satu persiapan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Jelas beliau, memang tidak dinafikan jika dilaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95, tindakan itu akan menyebabkan peningkatan harga minyak dan memberi kesan kepada harga barangan lain kerana RON95 adalah bahan kegunaan harian. 

“Bagaimanapun, kerajaan perlu melakukan langkah mitigasi sebagai contoh, Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff memberitahu, walaupun gaji minimum naik kepada RM1,700 tetapi penyasaran subsidi ini dikhuatiri akan berlaku ekonomi domino kepada barang-barang lain. 

“Jika dilihat apabila meningkat gaji minimum, ia menyebabkan kos buruh meningkat seterusnya peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga ditambah lagi apabila melakukan penyasaran subsidi petrol. 

“Ini akhirnya menyebabkan kenaikan harga barang lebih tinggi daripada kenaikan gaji sebanyak RM200. Jadi, perlu berhati-hati untuk melakukan penyasaran subsidi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN