KAHERAH: Sekumpulan penduduk menyerang seorang pengawal kereta api dan membakar posnya di pinggir bandar Kaherah hari ini, menurut Kereta Api Nasional Mesir.
Serangan tercetus susulan kejadian dua kanak-kanak maut digilis kereta api ketika sedang melintas di persimpangan kereta api yang ditutup kepada pejalan kaki.
Menurut pihak berkuasa, sekumpulan perusuh berkumpul di persimpangan berhampiran bandar Bilaydah di Al-Ayat, tempat kejadian yang meragut nyawa dua kanak-kanak terbabit.
Mereka kemudiannya menyerang pengawal yang bertugas di persimpangan tersebut dan membakar posnya, kata pegawai Kereta Api Nasional Mesir.
Media tempatan melaporkan, dua kanak-kanak terbabit sedang dalam perjalanan ke sekolah sebelum dilanggar.
Kemalangan kereta api adalah perkara biasa di Mesir.
Pada awal bulan ini, satu kemalangan kereta api mengakibatkan seorang maut dan lebih 20 yang lain cedera di selatan Mesir.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif untuk menambah baik sistem perkhidmatan kereta api di negara itu.- AP










