Pembebasan tebusan: Israel sudah silap percaturan?

Pembebasan tebusan: Israel sudah silap percaturan?

PINTU masuk sebuah kedai di jalan King George di Baitulmuqaddis memaparkan sepanduk dengan potret warga Israel yang menjadi tebusan di Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Israel kini semakin terdesak untuk membebaskan tebusan perangnya di Gaza, apatah lagi dengan tekanan selepas kematian Ketua Biro Politik Hamas, Yahya Sinwar.

Pentadbiran Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mungkin menjangkakan kematian Yahya membuka jalan mudah untuk rejim membawa pulang tebusannya dari Gaza.

Ini kerana, Israel menganggap Yahya, yang terbunuh dalam serangan baru-baru ini, sebagai penghalang utama dalam usaha mencapai sebarang perjanjian pembebasan tebusan, seperti dirancangnya.

RUNDINGAN LEBIH RUMIT

Hakikat kini, kematian Yahya lebih merumitkan proses pembebasan tebusan apabila Hamas berdepan kekosongan kepemimpinan.

Kumpulan pejuang Palestin itu perlu melantik pengganti Yahya, dan individu tersebut akan memainkan peranan penting dalam menentukan nasib rakyat Israel yang masih menjadi tebusan sejak serangan 7 Oktober 2023.

Daripada 251 tebusan yang dibawa ke Gaza pada hari tersebut, 97 orang masih ditahan di sana, termasuk 34 lagi yang disahkan mati oleh tentera Israel.

Walaupun keluarga para tebusan menyambut baik pembunuhan pemimpin kanan Hamas itu, mereka turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap nasib tawanan di Gaza.

“Kami menyeru kerajaan Israel, pemimpin dunia dan negara-negara yang menjadi pengantara untuk memanfaatkan kejayaan ketenteraan ini menjadi kejayaan diplomatik dengan mencapai segera perjanjian pembebasan tebusan,” kata Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang, pada Jumaat.

Pakar Asia Barat di Majlis Atlantik, Karim Mezran berpendapat, tugas perkhidmatan perisikan Israel mengetuai rundingan pembebasan tebusan dengan bantuan Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar tidak akan menjadi lebih mudah tanpa Yahya.

“Nasib tebusan mungkin sudah ditentukan kerana tiada lagi individu yang boleh tinggal untuk merundingkan pembebasan mereka.

“Dengan tiada siapa dalam kumpulan itu bersedia mengambil risiko untuk menjaga tebusan… mereka mungkin dibiarkan bersendirian dan berpeluang melarikan diri,” katanya.

Mezran juga mendakwa, pasukan operasi peringkat pertengahan Hamas berkemungkinan boleh menghapuskan tebusan untuk melindungi identiti mereka daripada tindak balas tentera Israel.

PENGGANTI YAHYA

Kini, rundingan mengenai tebusan berada dalam situasi yang tidak menentu sehingga pengganti Yahya diketahui.

Sehingga pertengahan 2024, struktur kepemimpinan Hamas dibahagikan kepada dua, iaitu di pihak cabang politik diketuai oleh Ismail Haniyeh yang berpangkalan di Doha, Qatar dan cabang separa tentera pimpinan Yahya di Gaza.

Struktur itu berubah selepas Yahya dilantik menggantikan Haniyeh yang dibunuh di Teheran pada Julai lepas.

Penyelidik badan pemikir, Fondation Jean-Jaures, David Khalfa berkata, keseimbangan kuasa kini memihak kepada biro politik, di mana sumber pembiayaan, sokongan logistik dan latihan ketenteraan tertumpu.

Katanya, jika Hamas memilih pemimpin yang hidup dalam buangan, kumpulan itu berisiko melihat ketuanya terasing daripada pasukan pejuang di lapangan di wilayah Palestin.

Namun, jika Hamas melantik seorang pejuang seperti abang Yahya, Mohammed Sinwar, ini akan memberi isyarat kumpulan itu kurang berminat dalam penyelesaian politik terhadap perang.

Bahkan, kerajaan Israel juga dilihat tidak bersedia untuk mendapatkan pembebasan tebusan pada sebarang harga, meskipun Netanyahu dihimpit tekanan yang semakin besar.

Khalfa percaya, Israel tidak akan melupakan pembebasan lebih 1,000 tahanan Palestin pada 2011 sebagai pertukaran untuk askar rejim, Gilad Shalit, yang ditahan Hamas selama lima tahun.

Antara tahanan Palestin yang dibebaskan ketika itu adalah Yahya Sinwar.

“Mereka mahu mengelak daripada mengulangi kesilapan seperti pertukaran Shalit, yang menyebabkan terpaksa membuat Israel membayar harga yang tinggi hari ini,” katanya.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN