Pekan Sehari Mat Kilau tarik 6,000 pengunjung

Pekan Sehari Mat Kilau tarik 6,000 pengunjung

SEBUAH keluarga menggayakan pakaian tradisional era Mat Kilau berniaga makanan tempatan di Kampung Kedondong, Pulau Tawar di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pekan sehari era Pahlawan Melayu Mat Kilau sekitar tahun 1880-an ‘dihidupkan’ semula oleh Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kedondong, Pulau Tawar di sini bagi mengembalikan nostalgia penduduk abad ke-19.

Program Moh La Weh Ke Pekan Sehari Kampung Kedondong itu menarik kira-kira 6,000 pengunjung bagi menikmati jualan kuih-muih dan pelbagai makanan tradisional serta pameran peralatan abad ke-19 termasuk acara kesenian seperti silat Melayu warisan pahlawan Mat Kilau dan bapanya, Tok Gajah.

Pengerusi JPKK Kampung Kedondong, Mohd. Rozi Rozuki berkata, program itu bertujuan mengembalikan nostalgia penduduk Pulau Tawar kerana tapak pekan sehari tersebut di pesisir Sungai Pahang pernah menjadi tumpuan penduduk Pulau Tawar, Kampung Gintong, Kampung Kelola dan tempat lain berkumpul dan berbelanja pada setiap hari Sabtu ketika Mat Kilau dan Tok Gajah masih hidup sekitar 1880-an.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pekan sehari ini juga menjadi tempat pertemuan semula waris penduduk Pulau Tawar dan cucu-cicit Mat Kilau yang tinggal di serata tempat negeri ini dan seluruh Semenanjung kembali bertaut ikatan kekeluargaan sambil menikmati makanan tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Mohd. Rozi, lebih mengujakan apabila waris dan perantau yang pulang ke kampung mengunjungi pekan sehari itu turut mengenakan busana Melayu era Mat Kilau dengan memakai tanjak, baju Melayu bersamping, berselempang termasuk baju kurung Pahang dan berselendang yang dipakai oleh golongan wanita.

Menurutnya, program tersebut diuar-uarkan sejak tiga minggu lalu menerusi laman sosial Facebook, Tiktok, Instagram dan aplikasi WhatsApp untuk pengetahuan semua waris, perantau dan orang ramai antara lainnya meminta mereka mengenakan pakaian tradisional Melayu abad ke-19 ketika mengunjungi Kampung Kedondong.

Katanya, antara jualan istimewa, iaitu masakan asam tempoyak ikan liar Sungai Pahang, sambal hitam belimbing, pelbagai jenis kuih-muih tradisional, bahulu bakar, bubur, pulut rendang, kuih bakar pandan, ketupat, rendang, lempeng dan ubi gadung.

“Turut menarik perhatian apabila ada kalangan penduduk menjaja kelapa, ayam kampung, ubatan herba dan rawatan urut tradisional serta persembahan lagu tradisi dari Kumpulan Man kayan, silat Mat Kilau, tarian piring dan permainan tradisional yang lazimnya dilakukan oleh penduduk Pulau Tawar pada abad ke-19,” katanya.

Menurutnya, JPKK Kampung Kedondong akan mengadakan perbincangan lanjut sama ada mahu menjadikan penganjuran pekan sehari Mat Kilau tersebut acara mingguan, bulanan ataupun tahunan di kampung itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini