PDRM bekerjasama dengan beberapa negara kesan aset GISBH

PDRM bekerjasama dengan beberapa negara kesan aset GISBH

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mengesan aset-aset milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya melalui Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) sedang bekerjasama dengan AMLA pihak berkuasa di negara-negara yang dikenal pasti GISBH mengumpul aset mereka.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 23 aset dipercayai dimiliki GISBH dianggarkan bernilai RM52.4 juta sudah dikenal pasti di luar negara.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan aset-aset tersebut.

“AMLA PDRM sedang bekerjasama rapat dan berbincang dengan negara-negara luar, di mana aset itu berada bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kata beliau, siasatan lanjut berkaitan kes-kes melibatkan GISBH juga sedang dijalankan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mendedahkan PDRM telah memulakan prosiding siasatan syarikat berkaitan GISBH yang beroperasi di luar negara.

Beliau dilapor berkata, siasatan ke luar negara bukan satu tugas mudah namun PDRM telah berusaha dengan menghubungi pihak berkuasa di 18 negara yang dipercayai menjadi lokasi syarikat berkenaan beroperasi.

Pada 10 Oktober lalu, PDRM mengesahkan sedang memperoleh maklumat berkaitan 23 harta milik GISBH di luar negara membabitkan 10 negara dengan anggaran nilai RM52.4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilapor berkata, pada masa ini pihaknya masih menunggu pengesahan harta itu dari negara yang terbabit bagi tindakan lanjut pembekuan dan penyitaan di bawah Akta 613.

“Kita masih mengumpul maklumat daripada pihak berkuasa luar negara berkaitan aset-aset GISBH yang berada di luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×