KUALA LUMPUR: Sekitar Januari 2019, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyanyikan lagu parodi ‘Hatiku Luka Lagi’ dengan lirik baharu antaranya menyatakan 9 Mei 2018 adalah hari paling sedih.
Pada 24 Oktober lalu, Najib sekali lagi menyuarakan rasa kecewa dengan segala masalah dan penyelewengan yang berlaku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sewaktu beliau masih dalam tampuk pentadbiran melalui satu kenyataan media yang dibacakan oleh ananya, Datuk Mohamad Nizar.
Esok, hati Najib berkemungkinan akan terluka lagi sekiranya Mahkamah Tinggi memutuskan untuk memanggilnya membela diri bagi empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB.
Pada tarikh sama, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah akan turut membuat keputusan sama ada akan memanggil bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk membela diri atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 20 September 2018 sebelum kes dibenarkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Oktober 2018.
Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib menutup kes pada 30 Mei lalu selepas 235 hari perbicaraan dalam tempoh enam tahun dan 50 saksi pendakwaan telah dipanggil.
Perbicaraan kes itu, bermula pada 28 Ogos 2019 dengan saksi pertama pendakwaan Datuk Dr. Farizah Ahmad yang juga Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Kabinet dan Perlembagaan Jabatan Perdana Menteri.
Saksi terakhir pendakwaan ialah bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.
Selain itu, antara saksi penting yang dipanggil memberikan keterangan termasuklah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Pihak-pihak berkaitan mula berhujah pada 19 Ogos lalu dan mengambil masa 12 hari untuk diselesaikan.
Fakta lain yang menarik berhubung kes itu ialah Hakim Sequerah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 17 Januari 2023 iaitu ketika perbicaraan kes penyelewengan dana itu memasuki tahun kelimanya.
Pada 29 Januari 2023, Ketua Pendakwaan kes itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.










