BEIRUT: Selepas menggempur Gaza selama hampir setahun, tentera Israel kini memulakan serbuan darat bersasar di selatan Lubnan untuk berdepan kumpulan Hezbollah.
Ini merupakan serangan darat keempat Israel di selatan Lubnan dalam tempoh 50 tahun, dengan rejim tentera itu sekali lagi berdepan medan yang berbatu, dipenuhi bahan letupan dan tempat persembunyian yang digunakan tentera generasi sebelumnya.
Keputusan ini mencetuskan perdebatan tentang kebijaksanaan rejim membuka barisan kedua dan memberi tentera Israel cabaran berbeza berbanding persekitaran bandar yang padat di Gaza.
MEDAN TEMPUR BERBEZA
Bekas Pegawai Perhubungan Israel dengan Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari 2009 hingga 2013, Jonathan Conricus berkata, medan tersebut sangat berbeza dan membentuk zon pertempuran yang jauh lebih besar.
“Topografi sangat mencabar untuk pasukan penceroboh dan mudah untuk musuh seperti Hezbollah.
“Rupa muka bumi juga membenarkan musuh yang mempertahankan diri menggunakan pelbagai cara untuk melancarkan peluru berpandu antitangki dan IED terhadap tentera Israel,” kata Concirus yang juga bekas jurucakap tentera kepada AFP.
Miri Eisen, yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perisikan Israel di Lubnan, masih mengingati struktur bukit curam dan lembah yang ditemukannya semasa pencerobohan Israel pada 1978.
“Sebaik sahaja kamu menyeberangi sempadan, kamu akan turun secara drastik dan naik secara drastik.
“Ada batu besar yang boleh digunakan sebagai tempat persembunyian dan terdapat kawasan yang tidak boleh dilalui dengan kenderaan. Ia juga sukar untuk berjalan di situ,” katanya yang kini bekerja di Institut Antikeganasan di Universiti Reichman Israel.
Penganalisis percaya Hezbollah membina rangkaian terowong bawah tanah yang rumit dan terletak jauh ke dalam bukit, dengan pintu masuknya tersembunyi di dalam rumah antara lokasi lain.
AMARAN TERAKHIR NASRALLAH
Dalam ucapan terakhir beberapa hari sebelum dibunuh, Pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah memberi amaran kepada musuh ketatnya mengenai risiko bahaya untuk mewujudkan zon penampan di selatan Lubnan.
“Ia akan menjadi rawa, perangkap, serangan hendap, jurang dan neraka bagi tentera kamu jika masih mahu menceroboh tanah kami,” katanya yang memberi amaran pada 19 September lalu.
Setakat ini, selepas hampir dua minggu bertempur, seramai 14 tentera Israel terbunuh, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi rejim.
Menurut pakar, kedua-dua tentera Israel dan Hezbollah menunjukkan transformasi sejak pertembungan terbuka terakhir mereka pada 2006.
Perancang ketenteraan Israel mengkaji semula kelemahan yang dialami pada 2006 untuk dijadikan pengajaran.
“IDF mengikuti ancaman dari Hezbollah selama bertahun-tahun dan mempunyai tambahan 11 bulan untuk bersiap sedia semasa mereka bertempur dengan Hamas (di Gaza) sebelum beralih kepada Hezbollah,” kata Eisen.
Israel meningkatkan kempen udara terhadap Hezbollah pada 23 September lalu, menyasarkan tokoh kanan dan gudang senjata dalam usaha untuk melemahkan organisasi itu sebelum serangan darat.
Peningkatan serangan berlaku selepas alat komunikasi dipasang dengan perangkap bom yang digunakan oleh Hezbollah meletup, mencederakan ribuan orang.
Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, serangan udara itu mengakibatkan lebih 1,200 kematian, manakala Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi mengesahkan sekitar 690,000 orang menjadi pelarian dalaman.
Sejak 2006, Hezbollah diketahui mendapat manfaat daripada pemindahan senjata selama bertahun-tahun dari Iran termasuk peluru berpandu balistik, manakala ramai anggotanya lebih berpengalaman selepas bertempur di Syria untuk menyokong rejim Presiden Bashar al-Assad.
Pakar Pusat Penyelidikan Politik dan Strategik Al-Ahram, yang berpangkalan di Mesir, Rabha Allam berkata, Hezbollah beroperasi dengan cara tidak berpusat seperti sebuah tentera gerila, yang membolehkannya melawan balik di selatan.
“Anggapan Israel menyerang kepemimpinan dan komunikasi Hezbollah akan melumpuhkan gerakan itu adalah salah,” katanya.- AFP










