PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yakin dapat melepasi sasaran kutipan hasil sebanyak RM56 billion tahun ini selepas memungut sebanyak RM48.97 billion bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 September lalu.
Jumlah ini menyaksikan pungutan hasil dalam tempoh berkenaan telah melebihi sasaran semasa yang ditetapkan Kementerian Kewangan iaitu sebanyak RM42.42 billion.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin memberitahu Utusan Malaysia, pencapaian luar biasa itu berkat usaha dan kerjasama semua pegawai JKDM dengan berpaksikan perspektif CTI iaitu Cepat, Tangkas dan Berintegriti.
Kata beliau, kejayaan itu boleh dilihat apabila pungutan hasil telah mencatatkan lebihan sebanyak RM6.54 bilion atau 15.43 peratus.
“Sebagai perbandingan, bagi tempoh yang sama iaitu 1 Januari sehingga 30 September 2023 sasaran yang ditetapkan adalah sebanyak RM38.96 bilion dan kita (JKDM) berjaya mengutip hasil sebanyak RM41.7 bilion.
“Kutipan hasil ini mencatatkan lebihan sebanyak RM2.74 bilion atau 7.03 peratus,” katanya di sini.
Mengulas lebih lanjut, Anis Rizana berkata, bagi prestasi Bahagian Penguatkuasaan, sebanyak 5,196 kes direkodkan dalam tempoh sama sehingga 31 Ogos lalu dengan nilai rampasan barangan termasuk duti atau cukai berjumlah RM1.25 bilion.
Ujar beliau, ia adalah peningkatan nilai sebanyak 42.47 peratus berbanding RM884.26 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.
“Komoditi yang dirampas merangkumi rokok, minuman keras, dadah, kenderaan, mercun dan bunga api serta lain-lain.
“Aktiviti penguatkuasaan berterusan dan berkesan yang dijalankan oleh pihak JKDM telah mendapat pengiktirafan daripada pihak industri serta Pentadbiran Kastam Korea Customs Service (KCS).
“Ini adalah pencapaian yang positif dan memberangsangkan selain ia adalah hasil manifestasi dan perubahan yang dilakukan oleh jabatan ini dalam menguatkuasakan undang-undang,” jelasnya.
Pada 25 September lalu, Anis Rizana dalam satu program Ruang Bicara terbitan sebuah media tempatan mendedahkan, jumlah kutipan hasil JKDM menunjukkan peningkatan dalam tempoh lapan bulan tahun ini.
Ia selepas beberapa penambahbaikkan yang dilaksanakan JKDM antaranya pemeriksaan kontena import dan eksport secara 100 peratus di semua pintu masuk terutama di Pelabuhan Klang dan memperkenalkan Sistem Dokumen Sokongan Import Eksport (SDSIE).
Menurutnya, sistem SDSIE mula dilaksanakan di Pelabuhan Klang, Selangor bermula suku tahun kedua tahun ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
Malah, inisiatif “seamless trade facilitation” turut dikenakan kepada pihak pengimport atau ejen penghantaran bagi mengelak berlakunya penompokan kuasa ke atas mana-mana individu dalam menyaring proses pengikraran Borang Kastam.
Dalam pada itu, sebanyak 66 unit mesin pengimbas dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut ditambah di seluruh negara bagi meningkatkan tahap kecekapan pemeriksaan barang dagangan bagi membanteras kegiatan penyeludupan.
Selain itu, perolehan aset iaitu 24 unit kenderaan Proton X70 untuk Zon Sabah serta 20 ekor Anjing Pengesan Dadah (APD) baharu ditempatkan di seluruh negara. – UTUSAN










