GAZA: Sekurang-kurangnya 28 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel terhadap sebuah sekolah yang menjadi tempat perlindungan orang awam di utara Gaza, semalam.
Pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Medhat Abbas melaporkan, ramai mangsa cedera dalam serangan tersebut.
“Tiada air untuk memadamkan api. Ini adalah tindakan pembunuhan beramai-ramai. Orang awam dan kanak-kanak sedang dibunuh dan dibakar,” katanya.
Tentera Israel mendakwa, serangan kejam itu menyasarkan puluhan anggota pejuang Palestin yang didakwa beroperasi di dalam Sekolah Abu Hussein di Jabalia, sedangkan ia tempat perlindungan untuk penduduk kehilangan tempat tinggal.
Pasukan rejim turut mendakwa, puluhan pejuang daripada kumpulan Hamas dan Jihad Islam berada di dalam kawasan tersebut semasa serangan berlaku.
Tentera juga mendakwa, langkah berjaga-jaga diambil untuk mengurangkan kemudaratan kepada orang awam dan menuduh Hamas menggunakan mereka sebagai perisai manusia.
Hamas dalam kenyataan menolak dakwaan terdapat pejuangnya di sekolah itu dan menyifatkan ia sebagai pembohongan Israel untuk menghalalkan jenayahnya.
Pejabat media kerajaan Gaza melaporkan, kira-kira 28 terbunuh dan 160 yang lain cedera dalam serangan di sekolah itu.
Penduduk Jabalia di utara Gaza berkata, pasukan Israel meletupkan beberapa rumah melalui serangan dari kereta kebal dan meletakkan bom di dalam bangunan sebelum meletupkannya dari jarak jauh.
Kawasan itu menjadi tumpuan tentera Israel sejak dua minggu lalu, yang mendakwa ia cuba menghalang pejuang Hamas daripada berkumpul semula untuk melancarkan lebih banyak serangan.
Dalam kejadian berasingan pada awal Khamis, pegawai kesihatan Palestin turut melaporkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam dua serangan berbeza oleh Israel di Bandar Gaza, manakala beberapa lagi maut di kawasan tengah serta selatan wilayah itu.- REUTERS










