GENEVA: Tentera Israel menggunakan robot berisi bahan letupan, senjata yang dilarang di bawah undang-undang antarabangsa, semasa operasinya di utara Gaza.
Pemantau Hak Asasi Manusia, Euro-Mediterranean mendedahkan menerima banyak keterangan mengenai penggunaan robot bahan letupan yang diletupkan tentera Israel dari jarak jauh.
Katanya, bahan letupan itu menyebabkan kerosakan meluas kepada rumah dan bangunan sekeliling, termasuk mengorbankan banyak nyawa.
“Penggunaan robot letupan adalah dilarang di bawah undang-undang antarabangsa kerana dianggap sebagai senjata yang tidak boleh dibezakan dan tidak dapat diarahkan atau terhad kepada sasaran tentera sahaja,” katanya.
Menurut pemantau, tentera Israel mula menggunakan robot ini buat kali pertama di Gaza pada Mei lalu, semasa pencerobohan kedua di kem pelarian Jabalia.
Kumpulan itu mengesahkan, tentera memperluas operasi pemusnahan dan perobohan bangunan kediaman di kawasan pencerobohannya di utara Gaza, menggunakan kaedah pengeboman udara, robot letupan dan penanaman bahan letupan.
“Mereka yang terselamat daripada pembunuhan dan pengeboman Israel, masih kekal berisiko mati kebuluran kerana tentera menghalang sebarang bantuan daripada memasuki utara Gaza, sementara turut memusnahkan serta membakar kedai roti dan telaga air di sana.
“Tentera giat meningkatkan genosid terhadap rakyat Palestin dengan pembunuhan yang disengajakan, kebuluran dan pemindahan secara paksa,” katanya.– ANADOLU










