Israel bedil selatan Beirut selepas arah penduduk pindah

Israel bedil selatan Beirut selepas arah penduduk pindah

PENDUDUK memeriksa kemusnahan selepas serangan Israel terhadap kejiranan Mreijeh di pinggir selatan Beirut.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Dua serangan udara Israel menyasarkan selatan Beirut hari ini, selepas tentera memberi amaran kepada orang awam untuk mengosongkan kawasan kubu Hezbollah, lapor media kerajaan.

Menurut Agensi Berita Nasional (NNA), pesawat musuh melancarkan dua serangan di pinggir selatan Beirut pagi ini, dengan satu daripadanya mengenai sebuah bangunan kediaman di Haret Hreik berhampiran masjid dan hospital.

Terdahulu, tentera Israel mengarahkan orang awam yang berada berhampiran bangunan didakwa berkaitan dengan Hezbollah di dua kawasan kejiranan di selatan Beirut, supaya segera berpindah pada awal hari ini.

Amaran segera itu dikeluarkan oleh jurucakap tentera, Avichay Adraee, merangkumi kawasan kejiranan Haret Hreik dan Hadath.

“Anda berada berhampiran kemudahan dan kepentingan berkaitan dengan Hezbollah, yang mana IDF (Angkatan Pertahanan Israel) akan bertindak terhadapnya dalam masa terdekat.

“Untuk keselamatan anda dan ahli keluarga anda mesti segera mengosongkan bangunan dan premis bersebelahan serta bergerak sekurang-kurangnya 500 meter dari situ,” kata Adraee di Telegram.

Amaran sama dikeluarkan sebelum serangan udara Israel dalam beberapa minggu kebelakangan ini, selepas Israel meningkatkan operasi menentang Hezbollah, yang mempunyai kubu kuat di pinggir selatan Beirut.

Israel dan Hezbollah saling berbalas serangan hampir setiap hari di sepanjang sempadan Lubnan sejak tercetusnya perang di Gaza tahun lalu.

Namun, Israel meningkatkan kempen pada akhir bulan lalu, dengan melancarkan serangan udara dahsyat dan mengerahkan operasi ketenteraan darat.

Sejak akhir September, perang tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya 1,454 orang di Lubnan, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Kementerian Kesihatan negara itu.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN