JERANTUT: Felda Jengka 24 di sini memerlukan rumah generasi baharu bagi memastikan lebih 700 anak-anak peneroka tinggal di tanah rancangan itu dan menghantar anak mereka bersekolah di sekolah kebangsaan (SK) di situ.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, rumah itu begitu diperlukan kerana generasi baharu yang ada di situ ketika ini tinggal serumah bersama ibu bapa dan menyewa.
Beliau menjelaskan, akibat ketiadaan rumah, ramai anak-anak peneroka di Felda Jengka 24 terpaksa membuat keputusan keluar daripada tanah rancangan itu menyewa dan bekerja di tempat lain.
“Pada ketika ini, murid-murid yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Jengka 24 adalah anak-anak dalam kalangan generasi kedua dan ketiga, tiada lagi anak-anak peneroka asal.
“Difahamkan, murid semakin berkurangan dan kita bimbang jika isu perumahan di sini tidak diatasi, murid di SK Felda Jengka 24 akan terus berkurangan dan tidak mustahil satu masa nanti langsung tiada murid.
“Jadi, kita berharap kerajaan memandang serius perkara ini dan segera membangunkan projek rumah generasi baharu Felda di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Terdahulu, Razak menyempurnakan majlis perasmian temasya sukan tahunan kali ke-31 SK Felda Jengka 24 di sekolah berkenaan.
Mengulas lanjut, Razak berkata, pihak Felda ataupun kerajaan tidak perlu bimbang soal tanah kerana pihaknya sudah mempunyai lokasi cadangan untuk pembinaannya.
“Kita tidak bimbang soal tanah sebab tanah untuk bina rumah memang ada, cumanya kita harap kelulusan segera pihak kerajaan untuk melaksanakan pembinaannya.
“Ini memang menjadi harapan generasi baharu Felda di sini yang sekian lama mengimpikan kediaman sendiri seperti mana ada di tanah rancangan lain,” katanya.
Jelasnya, dengan adanya rumah generasi baharu di Felda Jengka 24, beliau percaya ramai generasi baharu akan pulang untuk menetap dan bekerja di situ. – UTUSAN










