Dilema, trauma pelarian Palestin di Lubnan

Dilema, trauma pelarian Palestin di Lubnan

PENDUDUK memeriksa kemusnahan selepas pengeboman Israel di pinggir selatan Beirut.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Bunyi letupan yang bergema, deruan pesawat perang dan desingan dron mencipta suasana menakutkan buat penduduk, termasuk pelarian Palestin yang terpaksa berdepan serangan keganasan berterusan Israel di Lubnan.

Kebanyakan serangan tertumpu di Dahiyeh, menyebabkan kawasan pinggir selatan Beirut itu musnah dengan banyak bangunan ranap dan mengorbankan ramai orang awam.

Kawasan sekitar menyaksikan ribuan penduduk melarikan diri ke pusat pemindahan di seluruh bandar akibat trauma dengan serangan Israel.

Tidak terkecuali, kem Shatila yang menempatkan sekitar 20,000 pelarian dalam kawasan seluas satu kilometer persegi.

SASAR KEM PALESTIN

Sejak Israel meningkatkan serangan di Lubnan pada akhir September lalu, ia mencetuskan krisis kemanusiaan dan memusnahkan bandar serta kampung di selatan, termasuk kawasan pinggir Beirut yang membunuh hampir 2,000 orang dan memaksa lebih sejuta penduduk berpindah.

Serangan tersebut juga tidak mengecualikan pelarian Palestin, yang kebanyakannya tinggal di 12 kem di seluruh negara.

Tapak ini dibina untuk menampung ratusan ribu rakyat Palestin yang diusir dari tanah air mereka semasa penjajahan Israel pada 1948 – satu peristiwa yang dikenali sebagai Nakba.

Sepanjang minggu lalu, Israel terus mengebom kem Beddawi di bandar utara Tripoli, kem Ein el-Hilweh di bandar selatan Sidon dan kem el-Buss di bandar Tyre.

Serangan di Beddawi membunuh seorang Komander Hamas, manakala serangan di Ein el-Hilweh gagal membunuh sasaran yang ditetapkan, Munir al-Maqdah iaitu jeneral Briged Syahid Al-Aqsa.

Munir terselamat daripada serangan itu, malangnya Israel berjaya membunuh anaknya dan empat yang lain.

Israel membunuh seorang lagi Komander Hamas dalam serangan di el-Buss, sebelum menjalankan operasi berasingan di Kola, hab pengangkutan yang sibuk di tengah Beirut.

Serangan itu membunuh tiga pejuang daripada Barisan Palestin untuk Pembebasan Palestin, sebuah kumpulan penentangan Marxis.

Seorang Tokoh Palestin dari kem Mar Elias di Beirut percaya, kem itu bakal menjadi sasaran seterusnya dalam perang Israel.

“Kem Palestin di Tebing Barat, Gaza, Syria atau Lubnan membuktikan bahawa Nakba berlaku.

“Jika Israel mengebom kem tersebut, maka itu tidak mengejutkan bahkan adalah perkara biasa untuk menjangka tindakan berkenaan,” katanya kepada Al Jazeera.

DISKRIMINASI UNDANG-UNDANG

Rakyat Palestin di Lubnan menghadapi diskriminasi undang-undang kerana mereka dilarang bekerja dalam 39 profesion bergaji tinggi di luar kem dan tidak dapat memiliki harta, termasuk melalui warisan.

Sekatan ini menjerumuskan 93 peratus rakyat Palestin ke dalam kemiskinan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kerajaan Lubnan percaya penafian hak rakyat Palestin ini menghalang proses naturalisasi mereka di Lubnan, sekali gus melindungi hak untuk kembali ke Palestin.

Di sebalik sejarah diskriminasi ini, kebanyakan pelarian Palestin masih bersolidariti membantu rakyat Lubnan yang terjejas akibat perang.

Fatima Ahmed, 48, seorang pengusaha kedai jahit segera menghubungi rakan Palestin lain untuk membantunya menyediakan selimut buat penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan dipaksa tidur di bawah jambatan, tepi jalan atau tempat perlindungan.

“Kami di kem Shatila juga tertekan akibat bunyi letupan. Untuk melupakan apa yang berlaku, kami memutuskan untuk berkumpul dan bekerja,” katanya.

Sejak minggu lalu, Fatima berkata, pasukan wanita yang dibentuknya membuat 3,000 selimut untuk diagihkan kepada penduduk kehilangan tempat tinggal.

Selalunya, mereka menerima permintaan selimut daripada kumpulan sukarelawan tempatan yang membantu mereka dipindahkan di bandar berhampiran selatan atau di Beirut.

Fatima tidak menjana keuntungan dan hanya meminta organisasi bantuan membayar harga bahan yang diperlukan untuk membuat selimat.

“Saya mungkin mati di sini, tetapi Israel juga boleh membunuh kami jika kami mencari perlindungan di tempat lain,” katanya ketika ditanya mengapa beliau masih tinggal di kem berkenaan.- AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×