Abai ibu bapa boleh didakwa

Abai ibu bapa boleh didakwa

ANAK-anak boleh dikenakan tindakan undang-undang jika sengaja mengabaikan ibu bapa mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak-anak boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati sengaja mengabaikan ibu bapa mereka selepas kerajaan menggubal undang-undang berkaitan warga emas.

Difahamkan, antara hukuman yang dipertimbangkan ialah penjara, denda dan mewajibkan potongan gaji kepada anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Ke­luar­ga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sudah menyediakan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan yang merangkumi aspek tindakan bakal dikenakan kepada anak-anak berbuat demikian.

Tanpa memperincikan jenis hukuman dan garis masa RUU itu dibentangkan di Parlimen, beliau berkata, pihaknya sedang meneliti secara serius aspek perlindungan terhadap ibu bapa yang menjadi mangsa anak-anak derhaka.

“Draf RUU Warga Emas sudah disediakan dan dibawa ke kementerian, namun terdapat beberapa perkara yang memerlukan penelitian lanjut.

“Kami sedang meneliti secara mendalam aspek perlindungan dan tindakan undang-undang terhadap anak yang mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa termasuk hukuman yang wajar, jika diperlukan bagi memastikan ia selaras dengan keperluan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Langkah berkenaan adalah usaha kerajaan dalam memastikan Malaysia bersedia menghadapi status negara menua menjelang 2030.

Menurut Jabatan Perangkaan, peratus warga emas bagi suku kedua 2024 adalah 11.6 peratus atau 3.9 juta daripada jumlah penduduk warganegara sebanyak 30.6 juta.

Pada masa kini, negara tidak mempunyai undang-undang spesifik untuk mengheret anak-anak yang secara sengaja mengabaikan ibu bapa ke muka pengadilan, termasuk menghantar mereka ke rumah jagaan orang tua walaupun berkemampuan.

Sebelum ini, laporan terbaharu yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan peningkatan 20 peratus kes penderaan dan pengabaian ibu bapa oleh ahli keluarga sendiri.

Malah, kajian menunjukkan satu daripada 100 warga emas di Malaysia pernah ditipu dalam soal kewangan dilakukan ahli keluarga sendiri dan sindiket.

Media juga pernah melaporkan nasib bagaimana ibu bapa yang sudah lanjut usia ‘diheret’ ke mahkamah disebabkan perebutan harta oleh anak-anaknya.

Ini belum mengambil kira ibu bapa menjadi mangsa disebabkan anak-anak terlibat dengan penagihan dadah.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, tidak mempunyai persefahaman antara adik-beradik, kesibukan bekerja dan masalah kewangan menjadi punca ibu bapa diabaikan.

Beliau berkata, banyak kes pengabaian ibu bapa disebabkan oleh anak-anak tidak mempunyai persefahaman menyebabkan mereka lepas tangan tidak ingin menjaga dan menyantuni orang tua sendiri.

“Malah atas kesibukan bekerja, ada adik-beradik yang tidak mempunyai kata sepakat untuk bergilir-gilir menjaga ibu bapa mereka.

“Kadang-kadang anak sendiri nak jaga, tapi menantu pula tidak mahu jaga. Ini semua menyebabkan kes pengabaian ibu bapa meningkat,” katanya.

Hushim berkata, faktor kewangan turut menyumbang kepada peningkatan kes pengabaian ibu bapa sekali gus mengambil peluang menghantar mereka ke rumah jagaan.

“Bil perubatan dan makanan yang tinggi menyebabkan anak-anak tidak mampu menyara ibu bapa mereka.

Masalah-masalah tersebut menyebabkan anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan orang tua,” katanya.

Hushim justeru menasihatkan anak-anak untuk mengenang jasa ibu bapa yang bersusah payah membesarkan mereka tanpa memikirkan wang ringgit dan tenaga.

“Kalau faham agama, mereka tidak membiarkan ibu bapa. Jadi kefahaman agama perlu dititikberatkan bermula sekarang agar anak-anak mengambil berat tentang ibu bapa ketika dewasa kelak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN