126 undang-undang hartanah lapuk

126 undang-undang hartanah lapuk

PASARAN hartanah menyaksikan lonjakan sejak kebelakangan ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan pang­kalan data raya (big data) yang lengkap, terkini dan re­levan ditambah dengan 126 undang-undang lapuk, menjadi faktor berlakunya kelompo­ngan dalam pasaran hartanah.

Akta mengenai hartanah tanpa pindaan semasa menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan data semasa atau tulus (Bona fide) sekali gus menyebabkan pasaran tidak lagi tulus.

Misalnya, Enakmen Rezab Melayu sudah melebihi 100 tahun tanpa pindaan yang mengharmonikan.

Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama), Prof. Dr. Ismail Omar berkata, secara konsep dan prinsipnya, hartanah mempunyai pasaran yang tidak sempurna (imperfect market) dan ia berbeza dengan pasaran komoditi lain.

“Maksud pasaran tidak sempurna adalah data dan maklumat hartanah tidak mudah diperoleh di pasaran.

“Ini kerana, data hartanah sentiasa menjadi rahsia selain mahal pula untuk mendapatkannya. Kalau ada pun, data berkenaan hak milik mungkin tidak lengkap atau sudah ketinggalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kelompongan yang ada menyebabkan keluk pasaran iaitu permintaan dan penawaran membabitkan hartanah akan terganggu.

Maka, beliau menjelaskan kesannya semua pihak akan mengalami kerugian terutama penjual, pembeli, bank, kerajaan rugi cukai, insurans dan sebagainya.

“Meskipun kita ada penilai hartanah yang berdaftar de­ngan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah Dan Pengurus Harta (LPPEH) yang sering menilai nilai pasaran dan pola pasaran hartanah tetapi sekiranya nilai yang tidak tepat digunakan di pasaran, kerugian akan berlaku.

“Misalnya apabila harga rumah dinilai di bawah paras nilai pasaran terbuka disebabkan ada rasuah atau sebagainya, sudah pasti kerajaan akan rugi duti setem,” jelasnya.

Tambah Ismail, apabila ejen hartanah menaikkan harga di pasaran, pasaran yang sebenar juga akan terganggu.

“Maka pembeli akan rugi. Seterusnya, apabila pasaran tergugat, jual beli terganggu apabila harga sukar dipersetujui. Akibatnya, penawaran hartanah terlebih di pasaran dan lambakan bekalan menjadi hartanah tidak laku,” ujarnya.

Ismail memberitahu, berdasarkan kajian, data berkenaan nilai hartanah tidak laku sudah mencecah RM30 bilion.

Dalam pada itu, Ismail berkata, sering wujud rundingan dalam menentukan skala fi terutama sekali apabila keadaan ekonomi merudum.

Kata beliau, skala fi peguam bagi hartanah banyak bergantung pada nilai hartanah dan begitu juga dengan fi penilai, juruukur dan sebagainya.

“Kebanyakan fi ahli- ahli profesional hartanah masih ditakuk lama dan sudah ketinggalan berbanding nilai pasaran hartanah semasa.

“Apabila keadaan ini berlaku, ada peluang akan berlaku ketirisan dan rasuah. Wajar atau tidak skala fi peguam atau ahli profesional perlu dikaji dengan mendalam ia perlu mengambil kira semua perkara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×