BACHOK: Umat Islam boleh menukar kitab al-Quran lama dan rosak kepada naskhah yang baharu secara percuma di Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di setiap negeri.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, penukaran kitab suci itu turut dilancarkan sempena Program Jom Exchange al-Quran di seluruh negara bermula Januari lalu.
Menurutnya, pelaksanaan program itu termasuk menyeru orang ramai menukar kitab al-Quran lama dan tidak memiliki perakuan Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran KDN kepada naskhah yang baharu
“Sebanyak 24,398 naskah al-Quran ditukarkan menerusi seminar dan juga pejabat KDN di seluruh negara bermula Januari hingga Ogos lalu.
“Pengurusan pondok pengajian Islam, masjid dan surau dialu-alukan untuk membuat penukaran untuk mendapatkan kitab al-Quran untuk dijadikan sumber rujukan dan lulus tapisan,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hifz al-Quran: Wakaf Ibtida’ peringkat Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini hari ini.
Nik Yusaimi memberitahu, pengurusan masjid di seluruh negara juga perlu merujuk Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran KDN sebelum menampal hiasan ayat al-Quran atau mengukir dekorasi pada dinding masjid bagi mengelak kesalahan mushaf.
Katanya, KDN sedia memberi perkhidmatan agar dekorasi tulisan ayat al-Quran atau mural di masjid dibuat dengan tepat.
“Belum ada pihak pengurusan masjid yang tampil untuk mendapatkan perkhidmatan itu. Ia penting bagi tujuan pembetulan yang disahkan oleh Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran KDN” ujarnya.-UTUSAN










