GEORGE TOWN: Tiga nama kini disebut-sebut bakal menggantikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu selepas pemimpin itu memilih untuk tidak bertanding pada sesi pemilihan Jawatankuasa DAP negeri kali ini.
Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Wong Hon Wai; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying.
Bagaimanapun, tidak ada pengesahan mengenai pencalonan ketiga-tiga pemimpin itu setakat ini dan mereka juga menolak untuk bercakap mengenai perkara tersebut ketika ditanya sebelum ini.
Bagi bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang juga bekas pemimpin DAP, Dr. P. Ramasamy, secara umumnya, kerusi Ketua Menteri yang diduduki Kon Yeow ketika ini masih selamat jika salah seorang daripada ketiga-tiga calon yang diperkatakan itu dipilih sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu selepas ini.
“Saya lihat Hon Wai ada peluang (jika dipilih sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang) memandangkan dia seorang ADUN. Tapi itu tidak mungkin.
“Begitu juga dengan dua orang lagi calon (Steven Sim dan Hui Ying) kerana mereka berdua adalah Ahli Parlimen (dan berkhidmat sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet). Melainkan, jika ada satu pilihan raya kecil (untuk mereka bertanding kerusi sebagai ADUN). Itu juga seperti mustahil akan berlaku.
“Jadi, kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang mungkin masih selamat buat Kon Yeow. Tapi, yang pasti, pergolakan dalam DAP akan berterusan walau siapa pun yang mengetuai DAP negeri selepas ini memandangkan kestabilan politik (kepartian) berkait rapat dengan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Kon Yeow mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada sesi pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang 22 September ini walaupun menerima pencalonan daripada DAP Pusat.
Kon Yeow yang juga Naib Presiden DAP Kebangsaan berkata, ini adalah masa yang sesuai untuk membuat keputusan berkenaan memandangkan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu nanti mempunyai lebih masa untuk memimpin parti itu.
Dalam pada itu, seorang ahli DAP yang enggan namanya disiarkan berkata, siapa pun yang dipilih menggantikan Kon Yeow selepas ini, pemimpin tersebut mestilah seorang yang berwawasan dan boleh menjadi tunjang kepada kekuatan parti khususnya di Pulau Pinang.
“Kami tahu ramai pihak bercakap bahawa DAP di Pulau Pinang kini terbahagi kepada dua puak. Betul atau tidak, bagi saya itu tidak penting.
“Yang penting ialah, bakal harap Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu nanti mestilah berusaha untuk menyatupadukan semua ahli demi kepentingan parti pada masa depan.
“Jangan sampai Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) dan MCA pula ‘gelakkan’ kita,” katanya. – UTUSAN










