HULU TERENGGANU: Ketibaan musim buah binjai menjadi lubuk rezeki kepada seorang suri rumah apabila buahan nadir itu mendapat permintaan tinggi daripada penggemarnya.
Noorilah A.Rahman, 43, berkata, dia dan adiknya, Mohammad Azhar, 36, akan mengutip buah binjai yang gugur dari sebatang pokok berusia hampir 100 tahun di kebun mereka pada setiap hari.
Menurutnya, pokok binjai tersebut yang ditanam arwah bapanya hanya berbuah antara tiga hingga lima tahun sekali dan musim buah gugur sekitar Ogos hingga September sahaja.
“Musim kali ini buah begitu lebat sehinggakan pada minggu lepas sudah penuh dua guni dalam tempoh lebih kurang dua jam mengutip kerana begitu banyak buah gugur.
“Saya ke kebun terletak lebih lima kilometer dari rumah seawal pukul 7.30 pagi menaiki motosikal. Biasanya akan ulang alik empat kali sehari untuk kutip buah binjai gugur ditemani Mohammad Azhar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Tambah ibu tiga anak ini, buah binjai atau nama saintifiknya Mangifera caesia itu dijual RM10 bagi empat hingga enam biji bergantung kepada saiz dan permintaan tinggi diterima setelah dimuat naik ke dalam media sosial.
Katanya, selain pelanggan datang membeli di rumah dia juga membuat penghantaran ke sekitar kampung berdekatan sehingga ke Bandar Kuala Berang.
“Hasil jualan buah binjai dalam tempoh tiga minggu ini hampir mencecah RM3,000.
“Syukur, sekurang-kurangnya musim buah binjai ini menjadi sumber rezeki tambahan kepada kami,” ujarnya.










