GENDANG Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sudah dicanang.
Tanggal penting bagi lebih 60,000 pengundi kawasan tersebut ditetapkan pada 28 September ini dan hari penamaan calon pula 14 September ini.
Kini parti-parti yang bakal bertanding, yang pasti UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan gabungan Kerajaan Perpaduan, manakala Perikatan Nasional (PN) pula diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Kedua-dua parti masih berteka-teki dan merahsiakan siapakah ‘ayam sabung’ masing-masing
Namun, pucuk pimpinan kedua-dua parti dijangka mengumumkan calon masing-masing pada hujung minggu ini.
Sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia, UMNO dijangka mengumumkan calonnya bagi mempertahankan kerusi tersebut pada Sabtu ini.
PN pula dijangka mengumumkan calonnya bagi merampas kerusi tersebut beberapa hari selepas itu.
Bagaimanapun, tumpuan ahli parti dan rakyat, khususnya pengundi DUN Mahkota ialah siapa yang bakal dipertaruhkan oleh BN dan PN.
Faktor calon diakui menjadi pertimbangan utama para pengundi kerana sudah pastinya inginkan wakil rakyat yang mudah didampingi dan mampu membawa suara masyarakat ke peringkat negeri.
UMNO dijangka menampilkan pemimpin lebih muda untuk meneruskan kepimpinan Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.
Antara nama yang disebut-sebut dipertimbangkan untuk dicalonkan ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin, 47.
Namun, terdengar juga cakap-cakap politik nama seorang artis yang berasal dari Kluang, Shahrol Azizie Azmi yang lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro turut disebut-sebut.
Walaupun selebriti, namun itu bukan menjadi faktor utama pencalonan.
Biasanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. AHmad Zahid Hamidi sentiasa mengutamakan faktor calon yang diterima baik dan mampu memberi kemenangan.
Jadi, pucuk pimpinan UMNO, terutamanya Ahmad Zahid mempunyai lebih banyak pilihan yang disenaraikan oleh pelbagai pihak, khususnya daripada UMNO Bahagian dan Badan Perhubungan UMNO Johor.
Bagi PN, dua nama turut disebut-sebut untuk dicalonkan. Dua pemimpin tersebut ialah Ketua Bersatu Bahagian Kluang, Mohamad Nor Linggan atau Naib Ketua Bersatu Bahagian Kluang, Dzulkarnain Alias.
Berdasarkan keputusan PRN 2022, BN dijangka mempunyai kelebihan, apatah lagi kini turut mendapat bantuan daripada jentera parti gabungan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Namun, Bersatu yang mengaku sebagai ‘underdog’ turut mampu memberi saingan kepada calon BN.
Jadi, siapa bakal dipertaruhkan BN dan PN akan diketahui dalam masa terdekat. – UTUSAN










