Serangan Israel paksa penduduk Lubnan pindah ke Syria

Serangan Israel paksa penduduk Lubnan pindah ke Syria

RAKYAT Lubnan memeriksa kerosakan bangunan selepas serangan Israel di bandar selatan Kfour, di daerah Nabatiyeh, pada 17 Ogos lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Penduduk Lubnan di Dahiyeh, selatan Beirut memilih untuk berhijrah ke Syria selepas kawasan tersebut tidak lagi selamat didiami ekoran serangan bertubi-tubi tentera Israel sejak bulan lalu.

Menurut orang awam, mereka memilih untuk ke Syria yang terletak kira-kira 368 kilometer dari Dahiyeh kerana tidak memerlukan visa untuk merentas sempadan.

Ini memandangkan keadaan konflik di sana mulai reda, selain faktor harga sewa rumah yang lebih murah.

Arab News melaporkan, walaupun konflik perang saudara di Syria sudah mencecah 14 tahun, pertempuran tidak lagi berlaku terutamanya di Aleppo.

Seorang penduduk, Zahra Ghaddar berkata, dia dan keluarga berada dalam ketakutan selepas sebuah pangsapuri roboh akibat serangan dron berhampiran rumahnya di Dahiyeh, yang turut mengorbankan pemimpin Hezbollah, Fuad Shukr.

“Pada mulanya kami mahu berpindah ke kawasan berdekatan sahaja, namun sewa rumah bulanan mencecah AS$700 (RM3,032).

“Selepas beberapa ketika, kami mengambil keputusan berpindah ke Syria dan menyewa sebuah rumah empat bilik pada harga hanya AS$150 (RM650) sebulan,” katanya yang kini menetap di Aleppo.

Bagaimanapun, jumlah rakyat Lubnan yang berhijrah ke Syria dalam tempoh beberapa bulan ini tidak dapat dikenal pasti kerana mereka tidak tinggal setempat dan berdaftar sebagai pelarian.

Israel dan Hezbollah saling berbalas serangan hampir setiap hari dengan yang terburuk direkod pada 26 Ogos lalu apabila kedua-dua pihak melancarkan ratusan peluru berpandu antara satu sama lain.

Pertempuran sengit di sempadan Israel-Lubnan itu hampir mencetuskan perang, tetapi kedua-dua pihak berhenti dan menarik diri.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN