Sawah padi bakal pupus di Kelantan

Sawah padi bakal pupus di Kelantan

Pesawah melihat paras air di Stesen Pam Kemubu yang cetek sehingga menjejaskan operasi tanaman padi. – MINGGUAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pesawah meramalkan tanaman padi di negeri ini hanya mampu bertahan lima tahun lagi sekiranya masalah bekalan air ke petak-petak sawah tidak ditangani secara.

Dakwa mereka, masalah itu akibat kebocoran pada paip cerucuk di rumah pam utama di Stesen Pam Kemubu milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sekali gus memberi kesan kepada 2,645 hektar kawasan tanaman padi.

Seorang pesawah Nordin Daud, 62, yang mengusahakan 10.12 hektar sawah di Selising mendakwa masalah gangguan bekalan air sudah berlaku sejak 2010 tanpa penyelesaian secara tuntas oleh pihak berkenaan.

“Kerajaan menguar-uarkan untuk tingkatkan hasil makanan dan beri pelbagai inisiatif, sedangkan punca utama kepada masalah yang berlarutan sejak tahun 2010 tidak diselesaikan sehingga kini.

“Sekarang ini kita tahu punca utama, masalah ini sebenarnya boleh selesai. Cuma akibat terlalu banyak karenah birokrasi, ia berlarutan sehingga bertahun-tahun lamanya. Apatah lagi dengan ketiadaan tatakelola dalam pentadbiran agensi terlibat,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Nordin memberitahu, sudah tiba masa kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah utama termasuk mengubah rekabentuk dan teknologi rumah pam supaya ia dapat berfungsi lebih efisien.

“Sekarang kita bukan hanya berdepan krisis pesawah di Kelantan tetapi melibatkan sekuriti makanan negara. Jadi eloklah diberi tumpuan kepada penyelesaian masalah utama supaya perbelanjaan kerajaan dapat dijimatkan.

“Sikap kerajaan pada hari ini seolah-olah memberikan ikan kepada rakyat yang hanya boleh bertahan sementara, dan bukannya beri pancing untuk diguna berulang kali bagi mencari rezeki. Jadi beri pancing dan jangan beri ikan,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Muhammad Nuraisar Mat Yajit, 37, berkata, masalah itu menyebabkan dia tidak menanam padi pada musim 1/2024 baru-baru.

“Bila tidak dapat mengusahakan padi, saya terpaksa buat kerja lain untuk sumber pendapatan,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN