KYIV: Russia dan Ukraine melakukan pertukaran tahanan secara besar-besaran membabitkan 206 anggota tentera semalam, pada hari kedua urusan tersebut dilaksanakan selepas rundingan yang diuruskan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, jumlah itu membabitkan 82 anggota tentera dan 21 pegawainya yang ditahan sejak awal perang, sementara 103 anggota tentera turut dihantar pulang ke Russia.
Beliau turut menyatakan penghargaan atas pembebasan tahanan berkenaan.
“Rakyat kita sudah pulang. Kita berjaya membawa pulang lagi 103 tentera yang ditahan Russia,” kata Zelensky menerusi aplikasi Telegram.
Dalam ucapan videonya, beliau mengucapkan terima kasih kepada anggota tentera itu atas keberanian mereka dan pasukan yang menguruskan pertukaran tahanan.
Katanya, kumpulan tentera berkenaan adalah mereka yang berjuang untuk mempertahankan bandar Mariupol di Donetsk Oblast.
Zelenskiy turut memuat naik gambar anggota tentera yang diselimuti dengan bendera Ukraine berpelukan, berbual di telefon bimbit dan bergambar beramai-ramai di lokasi yang tidak didedahkan.
Kementerian Pertahanan Russia menyatakan, semua 103 tenteranya yang ditukar itu ditawan di wilayah sempadan Kursk, di mana tentera Ukraine melancarkan serangan mengejut pada bulan lalu.
Agensi berita WAM memaklumkan, pertukaran tahanan itu diuruskan oleh UAE.
Kyiv dan Moscow sering bertukar tahanan sejak pencerobohan Russia pada Februari 2022, dan pertukaran semalam adalah yang ketiga sejak Ukraine memulakan serangan rentas sempadan ke wilayah Kursk pada awal bulan lalu.- AGENSI










