AMMAN: Raja Jordan, Abdullah II menerima peletakan jawatan kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Bisher al-Khasawneh selepas pilihan raya parlimen minggu lalu, dipenuhi kekecewaan terhadap perang Israel di Gaza.
Khasawneh, seorang diplomat berpengalaman berusia 55 tahun, mengetuai kerajaan sejak Oktober 2020.
Susulan itu, Raja Abdullah II melantik Jafar Hassan, seorang teknokrat dan bekas menteri perancangan yang kini berkhidmat sebagai ketua pejabat raja, menggantikan Khasawneh.
Di bawah Perlembagaan Jordan, kerajaan biasanya meletak jawatan selepas pilihan raya perundangan, dan raja yang melantik Perdana Menteri bukan Parlimen.
Parlimen Jordan mempunyai dua dewan, di mana rakyat secara langsung memilik wakil di Dewan Perwakilan setiap empat tahun, manakala raja melantik semua 65 ahli Dewan Negara.
Barisan Tindakan Islam (IAF), sayap politik Ikhwanul Muslimin, memenangi 31 daripada 138 kerusi di Parlimen, merupakan perwakilan terbesar parti itu sejak 1989.
Walaupun peratusan keluar mengundi rendah pada 32 peratus, kejayaan parti itu didorong oleh rasa kecewa pengundi terhadap masalah ekonomi dan perang Israel di Gaza.
Pada 1994, Jordan menandatangani perjanjian damai dengan Israel, menjadikannya negara Arab kedua berbuat demikian selepas Mesir.- AL JAZEERA











