Projek Lebuhraya Pan Borneo paling mahal, tiada tol

Projek Lebuhraya Pan Borneo paling mahal, tiada tol

Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri memuji kesungguhan Ke­rajaan Sarawak di bawah pen­tadbiran Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memastikan pembangunan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) hingga sudah 90 peratus siap.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian kerajaan negeri menguruskan projek LPB sangat membanggakan terutama mengambil kira saiz dan kos projek yang sangat besar.

“Pelaksanaan projek LPB sudah mencecah hampir 90 peratus dan ini membanggakan kita kerana seperti yang kita ketahui (jumlahnya) bukan kecil. Projek ini mencecah sehingga RM16 bilion. Ia merupakan projek lebuh raya paling mahal dalam negara kita dan tidak dikenakan tol.

“Di sini, Abang Jo kata tidak mengapa tetapi di Semenanjung, sesetengah ahli parlimen hentam saya. Kenapa di Sabah dan Sarawak tidak perlu membayar tol, kenapa orang Pulau Pinang dan Perlis perlu membayar tol?

“Saya jawab mudah. Boleh tidak kamu pergi melawat kawasan di sana? Kalau mereka melawat, mereka lebih simpati dan faham bahawa daerah itu telah ketinggalan lama. Jadi dasar kita itu seharusnya dasar yang lebih prihatin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di Pekarangan Boulevard Mall, Miri, Sarawak semalam.

Anwar berkata, buat julung kalinya penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bantuan itu secara tunai melibatkan daerah Miri dan Kapit.
Katanya, pengagihan cara itu dibuat selepas Tuai Rumah Panjang memaklumkan kepadanya bahawa ada penerima tidak mempu­nyai akaun bank.

“Bagi STR negeri Sarawak, sejumlah 28,944 penerima akan mendapat sumbangan kerajaan dan akan disalurkan melalui akaun bank.
“Terdapat 500,000 penerima STR yang layak tetapi tidak mempunyai akaun bank, baik di Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Manakala, lebih 51,000 penerima tidak mempunyai akaun bank di Sabah dan Sarawak.

“Justeru, buat pertama kalinya di Miri dan Kapit, kita melancarkan program di mana kita boleh beri (bantuan) tunai secara langsung kepada pe­nerima yang tidak mempunyai akaun bank,” katanya.

Anwar turut me­ngumumkan tujuh klinik kesihatan di Sarawak yang bakal menerima pemulihan dan penaiktarafan.

“Klinik yang dinaiktarafkan di Miri adalah Klinik Bemang, Klinik Kesihatan Turan dan Klinik Kesihatan Jambatan Suai.

“Baki lagi klinik untuk dibaik pulih adalah di Taman Negara Mulu, Klinik Kesihatan Long Loyang, Klinik Kesihatan Beluru dan Klinik Kesihatan Long Miri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN