PENAMPANG: Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa 1A di Sabah yang hampir menjadi projek sakit dijangka siap selewat-lewatnya pada Mac 2026.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan LPB fasa 1A itu sudah jauh melangkaui garis masa ditetapkan, sepatutnya ia telah siap.
“Namun, kita sedia maklum banyak masalah jadi, ia hampir-hampir menjadi projek sakit. Baki 11 pakej kerja masih di peringkat pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026,” katanya semasa lawatan ke tapak projek LBP 1A (Pakej W06 Putatan-Inanam), hari ini.
Lawatan itu susulan masalah berkaitan pembinaan LPB Sabah yang dibangkitkan Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam persidangan Parlimen baru-baru ini.
Beliau berkata, kemajuan fizikal semasa keseluruhan Fasa 1A (15 pakej kerja) adalah 77.41 peratus dengan empat pakej kerja telah siap sepenuhnya iaitu laluan Donggogon-Papar; Kampung Lot M ke KM 32; Tawau-Semporna dan Lahad Datu Bypass.
Katanya, fasa 1B yang melibatkan 19 pakej kerja masih belum bermula dan masih di peringkat tender. Syarikat-syarikat yang lulus pra-kelayakan dalam peringkat perolehan.
Menurut Nanta, beliau berharap surat setuju terima kepada syarikat-syarikat yang terlibat boleh diselesaikan pada suku ketiga tahun ini atau selewat-lewatnya September ini.
Mengulas lanjut katanya, kelewatan pembinaan projek LPB disebabkan oleh pelbagai faktor terutama masalah kordinasi antara kontraktor, agensi kerajaan dan konsultan.
Nanta berkata, tinjauan itu turut memfokuskan kesinambungan usaha kementeriannya dalam menguruskan insiden banjir berdekatan kawasan projek LPB. Masalah banjir adalah bidang kuasa Jabatan Pengairan dan Saliran yang terletak di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.









