BATANG KALI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerjasama menyeluruh daripada semua pihak bagi memastikan usaha kerajaan menamatkan isu keciciran pembelajaran dalam kalangan murid sekolah di negara ini tercapai.
Perdana Menteri berkata, anak-anak yang tidak berkemampuan dan dibiarkan tercicir mesti diberi segala bantuan bagi meningkatkan keupayaan mereka terutama dalam memberi ruang dan peluang kedua dalam pendidikan.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta kepada Program Anak Kita di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) supaya tidak membebankan kementerian dengan tanggungjawab sedia ada.
“Saya harap kemudahan ini dimanfaat sebaiknya. Ibu bapa harus ada tanggungjawab. Guru-guru terpaksa dibebankan kerana guru-guru bertanggungjawab menyelamatkan anak bangsa tercicir.
“Anak-anak juga harus ambil kesempatan ini dengan sebaiknya. Tiada sebab mengapa tidak mungkin kita bangkit dan bernafas semula,” katanya dalam rakaman video sempena ucapan perasmian Reformasi Pendidikan Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan timbalannya, Wong Kah Woh serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, program tersebut merupakan usaha tambahan setelah mengenal pasti jumlah keciciran yang membimbangkan.
Jelasnya, keciciran bukan perkara baharu tetapi menjadi lebih rumit dan mencabar tatkala Malaysia berdepan permasalahan pasca Covid-19.
“Orang yang berjaya tidak semua terus berjaya. Ada yang kalah, tewas dan gagah tetapi akhirnya berjaya ialah dia yang sanggup bangkit semua dengan kesungguhan dan iltizam baharu,” ujarnya.
Selasa lalu, Fadhlina dalam satu kenyataan berkata, kerajaan melaksanakan Program Anak Kita bagi menangani masalah keciciran pelajar di negara ini.
Program dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan membabitkan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen yang lebih meluas untuk meningkatkan tahap pendidikan di negara ini melalui penyelarasan dengan agenda pendidikan global.
Berdasarkan statistik Lembaga Peperiksaan pada tahun lalu, sejumlah 10,160 atau 2.65 peratus calon tidak hadir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada 395,870 pelajar yang berdaftar.
Sejumlah 6.5 peratus atau 25,735 pelajar daripada keseluruhan jumlah yang mendudukinya pada tahun sama tidak layak menerima sijil (SPM) mereka. – UTUSAN










