Pesisir pantai jadi ‘rumah terakhir’ jutaan rakyat Palestin di Gaza

Pesisir pantai jadi ‘rumah terakhir’ jutaan rakyat Palestin di Gaza

RIBUAN khemah sementara didirikan oleh penduduk Palestin di tepi pantai di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza selepas rumah mereka musnah dibedil tentera Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehidupan rakyat Palestin di Gaza kini diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ apabila terpaksa menjadikan kawasan pantai di wilayah tersebut sebagai penempatan terakhir selepas tiada lagi tempat selamat untuk mereka melarikan diri daripada serangan rejim Zionis.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hanya 11 peratus daripada 360 kilometer persegi keluasan Gaza tidak dikenakan arahan pengosongan oleh tentera Israel setakat ini.

Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, kira-kira 1.7 juta rakyat Palestin di Gaza terpaksa menjadikan kawasan pesisir pantai sepanjang 16 kilometer sebagai ‘pusat perlindungan’ sementara sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pelarian itu terus meningkat memandangkan sebahagian besar penduduk di selatan Gaza diarahkan mengosongkan beberapa daerah seperti Rafah, Khan Younis dan beberapa lagi susulan peningkatan aktiviti kententeraan.

“Pelarian tidak menemui mana-mana lagi kawasan selamat untuk diduduki. Keadaan itu memaksa mereka untuk membangunkan ribuan khemah di pesisir pantai di Gaza untuk berlindung buat masa ini.

“Kawasan pesisir pantai sepanjang 16 kilometer itu kini menjadi tempat berteduh kepada sekurang-kurangnya 1.7 juta rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau berkata, nyawa rakyat Palestin kini diambang bahaya besar disebabkan kesesakan di satu lokasi kecil dan sangat berhampiran dengan laut.

“Keadaan itu mengundang penyebaran pelbagai penyakit berbahaya dalam kalangan pelarian selain terpaksa minum air laut untuk teruskan kehidupan serta dinafikan hak mendapatkan rawatan.

“Campur tangan antarabangsa sangat diperlukan bagi menghentikan keganasan rejim Zionis yang sedang melakukan genosid di Gaza bagi melindungi baki rakyat Palestin yang masih hidup,” katanya.

Mengulas lanjut, Sharif berkata, Gaza kini terbahagi kepada dua bahagian iaitu utara dan selatan selepas rejim Zionis mengambil alih beberapa kawasan di tengah wilayah tersebut dengan melarang kehadiran rakyat Palestin di lokasi berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN