NEW YORK: Pelakon veteran Hollywood, James Earl Jones, yang meminjamkan suara bagi watak ‘Darth Vader’ dalam siri filem ‘Star Wars’ meninggal dunia, semalam.
Pengurusnya, Barry McPherson berkata, Jones, 93, menghembuskan nafas terakhir di samping ahli keluarga di Dutchess County, New York.
Walaupun menghadapi masalah pertuturan kerana gagap semasa kecil, mendiang yang dilahirkan pada 17 Januari 1931, membintangi puluhan filem termasuk Field of Dreams, Coming To America dan Conan the Barbarian.
Beliau terkenal kerana meminjamkan suara untuk watak penjahat utama Star Wars, Darth Vader.
Selain watak ‘Darth Vader’, pelakon Amerika Syarikat (AS) itu turut menyumbangkan suara dalam beberapa watak animasi terkenal lain seperti Mufasa dalam filem Lion King.
Sepanjang kerjayanya, beliau berjaya menarik minat orang ramai dengan keupayaannya membawa pelbagai watak sama ada sebagai pelakon atau pun menggunakan suaranya dalam babak animasi.
Jones turut memenangi tiga anugerah berprestij termasuk dua Anugerah Emmy, Anugerah Grammy serta Anugerah Oscar bagi pencapaian sepanjang hayat.
Pada tahun 1971, beliau menjadi lelaki kulit hitam kedua yang dicalonkan untuk Academy Award bagi pelakon lelaki terbaik, selepas Sidney Poitier. – AGENSI










