SINGAPURA: Bank OCBC bakal memperkenalkan kemudahan perbankan digital untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 15 tahun, melalui akaun mereka sendiri termasuk menawarkan kad debit.
Akaun OCBC MyOwn, kini sedia ditawarkan mulai 20 Oktober depan dan akan beroperasi dengan kawalan ditetapkan oleh ibu bapa, kata bank itu dalam kenyataan, semalam.
Menurut OCBC, disebabkan oleh syarat umur minimum, majoriti remaja dan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun tidak boleh mengendalikan akaun bank mereka sendiri.
“Sebaliknya, akaun bank mereka kebanyakannya dipegang secara bersama dengan ibu bapa dan akses perbankan digital hanya diberikan kepada ibu bapa,” katanya.
Ibu bapa boleh memuat turun aplikasi OCBC Digital ke telefon pintar yang berasingan, dan anak mereka boleh mencipta nama pengguna serta kata laluan mereka sendiri untuk mengakses akaun bank secara digital setelah akaun dibuka.
Selain itu, satu kad debit OCBC MyOwn akan disediakan dengan akaun tersebut, dan kanak-kanak boleh ‘memilih reka bentuk kegemaran mereka daripada pelbagai pilihan yang menarik, menurut bank tersebut.
Ibu bapa akan dapat memantau aktiviti akaun anak mereka melalui aplikasi dalam masa nyata. Ini termasuk pemindahan dana, pembayaran, deposit atau pengeluaran ATM, serta penggunaan kad debit, kata OCBC.
Paparan papan pemuka yang boleh dilihat oleh ibu bapa dan anak ini adalah yang pertama untuk aplikasi perbankan digital di Singapura, tambahnya.
Terdapat kawalan akaun tertentu yang hanya boleh diakses melalui aplikasi ibu bapa, dan ini akan dilancarkan secara berperingkat.
Pelancaran Akaun OCBC MyOwn mengikuti 18 bulan kajian menyeluruh mengenai tingkah laku, psikologi dan aspirasi ibu bapa serta anak-anak mereka.- AGENSI










