TANAH MERAH: Seorang gadis yatim piatu dari Kampung Pelain, Batu Gajah di sini mungkin terpaksa menolak tawaran menyambung pengajian ke menara gading akibat masalah kewangan.
Nur Fatihah Mohammad, 20, berkata, setakat dia hanya mampu melunaskan bayaran pendahuluan sebanyak RM500 hasil sumbangan orang ramai.
“Masa kian suntuk, saya perlu melaporkan diri ke Universiti Malaya (UM) pada 29 September ini dan memerlukan perbelanjaan keseluruhan untuk urusan pendaftaran sebanyak RM1,120.57.
“Jumlah itu masih belum mencukupi, agak sukar untuk saya mendapatkan wang tersebut dalam tempoh yang singkat. Situasi ini membuatkan saya berada dalam dilema untuk meneruskan impian ke menara gading atau bekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nur Fatihah yang memperoleh keputusan 3.50 dalam STPM 2024 memberitahu, ibunya, Zaiton Mohamad, 48, meninggal dunia pada Julai lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru, manakala ayahnya enam tahun lalu.
Kata anak sulung dari empat beradik itu, dia kini menumpang kasih dengan keluarga angkat, Nik Siti Rohaizan Nik Hashim, 44, yang merupakan kawan arwah ibunya.
“Ibu angkat saya mempunyai empat orang anak. Ayah angkat pula (Mohd. Izani Abdullah, 52) bekerja sebagai buruh. Selain itu, dua lagi adik saya berusia 15 tahun dan 12 tahun tinggal bersama keluarga angkat.
“Manakala adik lelaki berusia 19 tahun tinggal dengan bapa saudara orang kurang upaya (OKU) di rumah arwah ibu di Kampung Kelisar, Batu Gajah di sini,” ujarnya.
Nur Fatihah berkata, arwah ibu bekerja sebagai Pembantu Tadbir namun tidak dapat menunggunakan wang pencen kerana urusan tuntutan masih belum selesai.
“Setiap bulan saya perlu buat bayaran kereta dan itu satu-satunya hutang arwah ibu yang belum selesai,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan kepada Nur Fatihah Muhammad akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0399541100693597. – UTUSAN










