NGO dapat kebenaran cabar tindakan Kerajaan Selangor

NGO dapat kebenaran cabar tindakan Kerajaan Selangor

NGO membantah tindakan Kerajaan Negeri Selangor menyahwartakan Bukit Cherakah sebagai hutan simpan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Kerajaan Negeri Selangor menyahwartakan Bukit Cherakah sebagai hutan simpan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati sembilan persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) and Shah Alam Community Forest Society (SACF) perlu dihujahkan dengan lebih lanjut.

Turut bersidang semalam ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Sekitar 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan kedua-dua NGO untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang menyahwartakan 406.22 hektar hutan simpan Bukit Cherakah.

Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka atas alasan semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh yang dibenarkan.

Kedua-dua NGO mendakwa adalah menyalahi undang-undang untuk Kerajaan Negeri Sela­ngor mengundurkan tarikh sesuatu warta dan memaklumkan bahawa satu keputusan telah dibuat berhubung penyahwartaan itu pada 20 Nov 2000.

Mereka mendakwa warta itu disiarkan pada 5 Mei 2022 iaitu 22 tahun selepas keputusan untuk menyahwartakan Bukit Cherakah dibuat.

Mereka menamakan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyua­rat Kerajaan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, YCH Development Sdn. Bhd., Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Restu Mantap Sdn. Bhd. selaku reponden dalam semakan kehakiman itu.

Pada prosiding semalam, Peka dan SCAF diwakili peguam-peguam, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal manakala Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Khairul Nizam Abu Bakar hadir bagi pihak kerajaan negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

Turut hadir ialah peguam, Ng Ka Choon dan Low Jiah Yee bagi YCH Development; peguam, Ganapathi Ramasamy bagi pihak PKNS dan peguam, John Wong Yok Hon bagi Restu Mantap.

Peguam-peguam, New Sin Yew dan Abhilaash Subramaniam hadir sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) bagi pihak Majlis Peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×