Netanyahu perluas perang dengan Lubnan

Netanyahu perluas perang dengan Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBING BARAT: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memutuskan untuk memperluaskan operasi ketenteraan di bahagian utara dengan Lubnan.

Saluran 13 melaporkan, Netanyahu mengumumkan keputusan itu semasa sesi dialog strategik minggu lalu, untuk membincangkan peningkatan di bahagian utara.

“Israel akan melancarkan operasi besar-besaran dan kuat di bahagian utara,” lapor saluran media itu yang memetik kenyataan Netanyahu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut sumber yang sama, tentera Israel didakwa merancang untuk melakukan peningkatan secara berperingkat di rantau berkenaan, yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Katanya, Kabinet Israel juga dijadualkan bermesyuarat minggu ini untuk membincangkan mengenai rancangan tersebut.

Memetik pegawai keselamatan Israel, rancangan memperluaskan perang di bahagian utara memerlukan pengurangan tenteranya di Gaza.

Pegawai Israel turut memberi amaran sebarang tindakan untuk mengubah situasi semasa di utara Israel boleh mencetuskan kepada peperangan lebih besar.

Laporan ini timbul sejurus selepas Timbalan Setiausaha Agung Hezbollah, Naim Qassem berkata, ancaman perang Israel terhadap Lubnan tidak menakutkan kumpulan itu.

Beliau juga memberi amaran kepada Tel Aviv jika perang tercetus, ratusan ribu rakyat Israel mungkin menjadi pelarian.

“Kami tidak merancang untuk memulakan perang kerana tidak melihatnya berguna, tetapi jika Israel melancarkan perang, kami akan menentang dengan perang dan kerugian ketara untuk kedua-dua pihak,” katanya seperti dilapor Agensi Berita Kebangsaan Lubnan.

Sehingga kini, hampir 120,000 warga Israel dipindahkan dari utara ke selatan sejak permulaan serangan terhadap Gaza.

Ketegangan memuncak di sepanjang sempadan Lubnan dengan Israel, di tengah serangan rentas sempadan antara Hezbollah dan pasukan rejim, ketika Tel Aviv meneruskan perangnya di Gaza sejak Oktober tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini