PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron melantik Michel Barnier sebagai Perdana Menteri baharu, sekali gus menamatkan kebuntuan politik selepas pilihan raya mengejut dua bulan lalu.
Barnier, 73, merupakan bekas ketua perunding Brexit Kesatuan Eropah (EU) dan mengetuai perbincangan dengan kerajaan United Kingdom (UK) antara 2016 dan 2019.
Sebagai seorang veteran parti Republikan (LR) berhaluan kanan, Barnier mempunyai kerjaya politik yang panjang dan mengisi pelbagai jawatan kanan, baik di Perancis mahupun dalam EU.
Kini, beliau perlu membentuk sebuah kerajaan yang perlu bertahan dalam Perhimpunan Kebangsaan, dengan tiga blok politik besar namun tiada satu pun dapat membentuk majoriti mutlak.
Tiga tahun lalu, Barnier pernah menyatakan hasrat untuk menentang Macron dalam pilihan raya presiden Perancis, dengan matlamat mahu mengehadkan dan mengawal imigresen.
Bagaimanapun, beliau gagal dipilih sebagai calon oleh partinya.
Barnier kini menjadi Perdana Menteri tertua Perancis sejak Republik Kelima diwujudkan pada 1958.
Beliau menggantikan Gabriel Attal, sebagai perdana menteri termuda Perancis, yang dilantik oleh Macron pada awal tahun 2024.
Pemilihan perdana menteri oleh Macron menimbulkan rasa tidak puas hati dalam Barisan Popular Baharu (NFP) berhaluan kiri, yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya mengejut Julai lalu.- BBC










