IMPHAL, India: Manipur di timur laut India diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan laporan risikan mendedahkan sebanyak 900 anggota militan Kuki dari Myanmar disyaki menyusup masuk ke negeri ini.
Perkara itu didedahkan kelmarin oleh Penasihat Keselamatan Manipur, Kuldiep Singh, namun organisasi yang mewakili komuniti Kuki, Kumpulan Pelajar Kuki (KSO) menafikan tuduhan tersebut serta mendesak pegawai berkenaan meletak jawatan.
Singh memberitahu pemberita, maklumat mengenai militan tersebut telah dikongsi dengan pelbagai agensi risikan.
“Polis sempadan telah diberi amaran dan operasi pemburuan anggota militan sedang dijalankan,” katanya menambah kawasan berbukit yang menjadi tempat tinggal suku Kuki kini dikawal ketat.
KSO yang menafikan perkara itu menuduh Singh menyebarkan maklumat palsu mengenai komuniti Kuki sekali gus mengancam keselamatan mereka.
“Kami tidak lagi merasa selamat di bawah kepimpinannya. Kami mendesak agar beliau meletak jawatan,” kata kenyataan KSO.
Sejak Mei tahun lalu, Manipur dilanda keganasan antara komuniti majoriti Meitei dan komuniti minoriti Kuki ekoran pertikaian tentang manfaat ekonomi dan kuota.
Etnik Kuki yang tinggal di selatan Manipur, mempunyai hubungan dengan suku Chin di Myanmar.
Dalam satu insiden baru-baru ini, satu serangan dron didakwa dilakukan oleh militan Kuki yang menafikan tuduhan berkenaan.- AGENSI










