KUALA LUMPUR: Anak kepada penyanyi Sharifah Zarina Wan Hassan, 44, iaitu Athalia Deena Buswani mengakui terkejut apabila mendapati ibunya tiba-tiba berada dalam keadaan lemah dan tidak bergerak semasa berada di kediaman mereka, Isnin lalu.
Menurut Athalia Deena, dia tidak pernah mengesyaki ibunya mempunyai sebarang penyakit yang serius memandangkan sebelum kejadian jatuh pengsan, ibunya berada dalam keadaan sihat.
“Pagi sebelum dia jatuh pengsan, mama elok sahaja berjoging, langsung tak menunjukkan dirinya sakit atau apa. Saya pun pergi ke kelas pengajian macam biasa sebelum tiba-tiba dihubungi bapa supaya segera pulang ke rumah.
“Bapa beritahu dia melihat menerusi kamera litar tertutup (CCTV), mama terbaring dan seakan tidak bergerak di sofa. Bapa juga cuba hubungi mama, namun dia hanya mampu menjawab lemah.
“Kami semua segera pulang dan terus bawa mama ke hospital. Ketika dirawat, mama juga diberikan tiga dos ubat tahan sakit sebelum hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat batu karang di kedua-dua belah buah pinggangnya,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas Athalia lagi, setakat ini, ibunya masih dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara dan dijangka pulang esok (hari ini).
“Mama telah menjalani pembedahan membuang batu karang pagi semalam. Bagaimanapun, menurut doktor, hanya sebelah bahagian dapat dikeluarkan. Difahamkan untuk membuang sebelah bahagian lagi mama perlu jalani pembedahan pada hari berbeza.
“Ia tidak boleh dilakukan serentak. Jadi, kami menunggu kemas kini daripada pihak hospital mengenai tarikh baharu untuk mama jalani pembedahan seterusnya,”katanya.
Selain itu, kata Athalia, ibunya juga kini berada dalam keadaan stabil di hospital dan ditemani oleh neneknya termasuk ibu saudaranya yang juga merupakan adik Zarina selain bapa.
“Kami bergilir-gilir jaga mama di wad. Kebetulan, nenek saya dari Sarawak memang berada di sini. Jadi, kami sama-sama menjaga mama,”katanya.
Terdahulu, Zarina dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di ibu negara Isnin lalu akibat mengalami penyakit batu karang dalam buah pinggang.
Zarina memaklumkan penyakit tersebut menyerang kedua-dua belah buah pinggangnya sehingga membengkak. – UTUSAN











