LAHAD DATU: Sebahagian besar isu tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diselesaikan melalui rundingan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Namun kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menyelesaikan semua perkara yang telah berlanjutan selama lebih 60 tahun adalah mustahil.
“Sebahagian besar kita telah luluskan, hal ini dah 60 tahun lebih dan apabila saya jadi Perdana Menteri nak suruh selesai esok, tak bolehlah. Sebahagian besar kita selesaikan, cara mana kita selesai, kita runding baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan bukan maki hamun, bukan nafikan.
“Tanggungjawab ini tanggungjawab bersama termasuk kerajaan negeri. Orang yang memimpin negeri tahu. Kenapa masa mereka perintah dulu tak buat secukupnya. Berapa ramai menteri-menteri di Sabah, mana suara mereka dulu?.
“Kalau nak buat, masa kamu perintah..nak buat masa kita ada kuasa. Esok saya dah pencen, marah dan berleter sana sini macam sesetengah orang tak guna dah. Orang akan tanya, dulu masa perintah kenapa tak buat?,” katanya semasa merasmikan Karnival Segalanya Felda di Felda Sahabat, di sini semalam.
Anwar berkata, jika ada orang yang bertanya kepadanya sekarang, beliau akan lakukan sebaiknya untuk menyelesaikan perkara-perkara yang terkandung dalam MA63.
Itu sebabnya beliau mengingatkan pemimpin-pemimpin politik agar jangan menghasut rakyat dan teruskan kerja dan khidmat bersama negeri dan Persekutuan.
Perdana Menteri turut bersetuju menyerahkan tanah adat seluas 400 hektar yang berada dalam kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kepada penduduk di Kampung Tambisan.
Beliau berkata, memandangkan tanah adat itu melibatkan tanah milik Felda maka, penelitian akan dibuat bagi menyerahkan semula tanah berkenaan kepada penduduk kampung.
Katanya, beliau mahu dalam tempoh sebulan atau dua bulan ini, masalah tanah adat di Kampung Tambisan itu selesai.
Dalam perkembangan sama, Anwar memutuskan untuk menaikkan Peruntukan Khas interim Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam.
Beliau berkata, kenaikan sekali ganda itu akan mula diberikan pada tahun depan (2025). Pengumuman tersebut sepatutnya dibuat semasa pembentangan Belanjawan 2025 namun, Perdana Menteri mengumumkan perkara tersebut semasa mesyuarat kali ini.
“Berhubung kait Perkara 112D, Peruntukan Khas Sabah dan Sarawak, pada tahun lepas RM300 juta diberikan kepada setiap negeri dan ia merupakan pemberian interim.
“Sekarang dari segi formula belum dapat dimuktamadkan dan kalau ikut interim, semakan dilakukan pada setiap lima tahun. Tapi tadi diputuskan, Perdana Menteri naikkan kadar interim daripada RM300 juta kepada RM600 juta untuk setiap negeri maknanya sekali ganda kenaikan dan ini akan bermula pada 2025,” katanya.
Menurut Fadillah, kerajaan masih mencari jalan untuk menentukan formula yang dipersetujui semua pihak dalam pemberian khas berkenaan.
Beliau berkata, pemberian khas interim itu akan membantu Sabah dan Sarawak dari segi pengurusan dan bagaimana ia digunakan terserah kepada kedua-dua negeri berkenaan.
Mengulas lanjut katanya, ada beberapa perkara yang dibincangkan di peringkat jawatankuasa teknikal belum dapat diputuskan kerana pandangan yang kuat daripada negeri Sabah, Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Ia termasuk berkaitan royalti minyak, duti setem, sempadan laut serta satu pertiga kerusi Parlimen diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak. – UTUSAN










